Cerita Menarik Anak Kedah: Dari Jelapang Padi Ke Hokkaido


ALOR SETAR - Meskipun baru dua tahun menceburi bidang perusahaan kecil dan sederhana (IKS), namun hasil usaha gigih telah membuat seorang anak jati Kedah menempa sejarah tersendiri apabila syarikatnya berjaya menembusi pasaran Jepun.

Anak Kedah itu, Mohd Khairul Anwar Mohd Badroldin yang berusia 34 tahun berbangga dengan syarikat kosmetiknya, Nuvenna PLT, ditubuhkan pada 2015 dan kini melahirkan empat jenis produk yang berasaskan bahan organik, iaitu beras.

Menjenamakan produknya dengan nama Nuvenna, Khairul Anwar mengeluarkan produk Venna Rice Mask & Scrub, pencuci muka, serum dan krim siang, yang diproses di sebuah kilang miliknya yang terletak di Pokok Sena.


Lebih menarik lagi, produk berkualiti yang dihasilkannya telah membuktikan potensi dan kemampuan anak Kedah untuk memecah tradisi serta bersaing di pasaran antarabangsa sekiranya bijak mengambil peluang untuk berada di landasan yang tepat.

Menceritakan detik mula mengorak langkah di dalam bidang IKS, Khairul Anwar merupakan antara usahawan Kedah yang bertuah apabila menerima pinjaman RM5,000 tanpa faedah dari Unit Pembangunan Usahawan Kedah (UPUK).

Berbekalkan tekad yang kuat, beliau memanfaatkan bantuan pinjaman itu sebaik mungkin dengan memperkemaskan aspek pemasaran produk dan penjenamaan produk miliknya.

Terus bersama UPUK, Khairul Anwar kemudian terpilih untuk mengikuti rombongan ke Jepun bersama 12 lagi rakan-rakan usahawan Kedah yang lain bagi mempromosi produk masing-masing di negara matahari terbit itu.

"Memang menjadi impian saya untuk memasarkan produk ke Jepun dan ia terlaksana apabila berpeluang mengikuti rombongan ke Hokkaido anjuran bersama Kerajaan Kedah dan Jepun melalui program 'Tokachi Marche' di bawa Food Valley pada 2016," katanya, ketika ditemubual media.


Rezeki ternyata menyebelahi Khairul Anwar apabila berjaya memikat hati sebuah syarikat kosmetik terkenal di negara itu, Kohaku Private Limited, dan seterusnya menjalin kerjasama untuk memasarkan produk keluaran anak Kedah itu di Jepun.

"Bermula dari situlah saya melebarkan perniagaan dengan menjalin kerjasama dengan syarikat dari Jepun, Kohaku Private Limited, yang berminat memasarkan produk kami," katanya ketika ditemui di premis perniagaannya, Nuvenna Beauty Centre yang terletak di Jalan Datuk Kumbar, di sini.

Mengulas lanjut, Khairul Anwar berkata, penghantaran pertama sebanyak 5,000 unit pada pertengahan tahun ini menerima sambutan hangat di sana ekoran keistimewaan produknya dihasilkan daripada bahan semula jadi, halal dan bebas bahan kimia.

"Bermula dari situlah saya mula mengeksport produk ke Jepun dengan permulaan penghantaran 5,000 unit pada pertengahan tahun ini dan maklum balas diterima cukup menggalakkan berikutan kelebihan produk yang berasaskan bahan semula jadi, halal dan tidak mempunyai bahan kimia berbahaya," ujarnya.

Hubungan erat antara Khairul Anwar dan UPUK turut membantunya menyertai pameran Satu Daerah Satu Industri (SDSI) di Melaka, Hari Peladang Kebangsaan di Sarawak dan Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) sebelum ini.

Malah kata Pengerusi Dewan Muda Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) Kedah itu juga bakal menyertai Japan Halal Expo yang berlangsung di Tokyo pada bulan depan dengan sasaran mengeksport 10,000 unit produknya ke sana pada tahun hadapan.

Khairul Anwar berkata, pinjaman yang diterima dari UPUK telah membuka ruang pemasaran produknya untuk menembusi pelbagai platform terutama melalui media sosial yang meliputi laman web, Facebook dan Instagram, sekaligus melonjakkan jualan produknya hingga dua kali ganda.

"Produk saya kini mula dipasarkan di seluruh negara dan saya sedang mengintai untuk bertapak kukuh di Malaysia serta seluruh Jepun, selain menembusi pasaran Singapura dan Brunei," ujar anak Kedah tersebut.


Sementara itu,  Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan, Pertanian dan Asas Tani, Datuk Suraya Yaacob berkata, pihaknya sentiasa membuka ruang seluas-luaskan untuk membantu usahawan di negeri Kedah.

Memperuntukkan sebanyak RM4 juta untuk melaksanakan skim mikrokredit kepada para usahawan, UPUK juga menyediakan khidmat nasihat perniagaan, melaksanakan aktiviti keusahawanan, pembangunan kemahiran dan akses pasaran yang lebih meluas.

Beliau berkata, daripada peruntukkan yang diberikan menerusi UPUK, seramai 441 usahawan sudah menerima manfaatkan dengan nilai pinjaman sebanyak RM3 juta.

Suraya menjelaskan bahawa 441 usahawan yang dibantu UPUK itu adalah sebahagian daripada lebih 50,000 peniaga di Kedah yang memperoleh bantuan serta insentif membabitkan pelbagai agensi Kerajaan Negeri dan Persekutuan.

"Di UPUK kita menyediakan pinjaman bermula dari RM1,000 hingga RM50,000 kepada mereka yang berusia antara 18 hingga 60 tahun tanpa mengenakan faedah bayaran untuk mereka memulakan atau mengembangkan perniagaan termasuk penjaja pasar malam dan peruncit.

"Bukan sekadar memberi pinjaman, UPUK juga turut memberikan khidmat nasihat perniagaan, aktiviti keusahawanan, pembangunan kemahiran dan akses pasaran," ujar beliau kepada Kedahnews.com.

Menurut Suraya lagi, Kerajaan Negeri dengan kerjasama Oborido Chamber of Commerce & Industry di Obihiro, Hokaido, juga membawa usahawan di negeri ini untuk menyertai pameran Tokachi Marche dan Tokyo Halal Exibition, di Jepun sebelum ini.

Hasilnya kata beliau, dua buah syarikat milik usahawan Kedah telah berjaya mengikat kontrak membekalkan makanan dan produk kecantikan kepada syarikat-syarikat di negara matahari terbit itu.

"Kerajaan Negeri juga menyediakan saluran untuk usahawan-usahawan kita mengembangkan perniagaan mereka termasuk melalui penganjuran Kedah Halal Fest apabila membawa wakil dari luar negara ke program itu," kata beliau.

Bagi usahawan yang berminat untuk menyertai program-program yang disediakan Kerajaan Negeri ini, mereka bolehlah mendapatkan keterangan lanjut dari UPUK yang terletak di tingkat 3, Pusat Transformasi Bandar (UTC), di sini. - Kedahnews.com

INFO tambahan

Bantuan diberikan kerajaan negeri kepada usahawan di Kedah:
  • UPUK sebanyak RM3 juta kepada 441 peminjam.
  • Program Dana Usahawan Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) sebanyak RM11.2 juta kepada 756 usahawan. 
  • Sebanyak RM1 juta diagihkan kepada seluruh PBT bagi memperbanyakkan kemudahan prasaranan kepada peniaga. 
  • Kerajaan negeri melupuskan bayaran lesen penjaja dan penjaja kecil.
  • Peruntukan sebanyak RM10,000 setiap daerah untuk melaksanakan program keusahawanan. 
  • Sebanyak RM2 juta diperuntukkan untuk membangunkan pusat Pemprosesan dan Pembungkusan Industri Makanan. 
  • Peruntukkan sebanyak RM30 juta bagi membangunkan 42 lot kilang di Taman Industri Halal. 
  • Penganjuran Kedah Halal Fest  
  • Pembabitan Kedah dalam MIHAS, SDSI, Malaysia Fest (Singapura), Halal Festival Kebangsaan.

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com