Bumbung Rumah Runtuh Akibat Ribut Di Simpang Ampat, Pekerja Selamat


SIMPANG AMPAT - “Bata dan siling jatuh bertaburan, nasib baik tak kena kami,” kata seorang wanita warga Indonesia, Riyana, 26, selepas struktur bumbung rumah sewa mereka di pangsapuri Taman Merak Jaya, di sini, runtuh akibat ribut, pagi semalam.

Dalam kejadian 6 pagi itu, empat wanita yang tinggal di situ terselamat dan sempat menyelamatkan diri ketika bumbung zink dan ketulan bata jatuh di ruang tamu serta dapur rumah mereka.

Riyana berkata, ketika itu dia dan rakannya bangun serta berbual di ruang tamu rumah.

“Jam 6 pagi saya terdengar angin kuat sebelum bumbung rumah bergoncang dan diterbangkan angin.

“Ketulan bata jatuh di lantai ruang tamu dan dapur rumah menyebabkan kami menjerit dan lari menyelamatkan diri,” katanya.

Menurutnya, ribut berlaku lebih seminit sebelum berhenti dan mereka tinggal di tingkat empat flat berkenaan, manakala hanya unit mereka berpenghuni sementara tiga yang lain kosong.

Sementara itu, Pengerusi Perbadanan Pengurusan Kondorakyat Taman Merak, Huan Boon Hee berkata, tiada kecederaan dilaporkan berlaku dalam kejadian itu dan empat unit rumah di tingkat empat flat itu rosak.

Katanya, sebuah motosikal rosak akibat ditimpa bata dari struktur bangunan yang runtuh.

Sumber: MyMetro

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com