Bukti VX Punca Kematian Jong-nam


SHAH ALAM - Pihak pendakwaan akan membuktikan bahawa keterangan jelas menunjukkan tindakan wanita warga Indonesia dan Vietnam yang menyapu cecair beracun VX kepada abang pemimpin Korea Utara, Kim Chol atau Kim Jong-nam hingga menyebabkan kematiannya di Balai Berlepas Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (klia2), Februari lalu.

Pengarah Pendakwaan Negeri Selangor, Muhamad Iskandar Ahmad berkata, pihaknya akan mengemukakan keterangan pakar untuk membuktikan kesan racun VX ialah penyebab kematian Jong-nam dan peluang untuk menyelamatkannya tipis.

"Mahkamah akan membuktikan Siti Aisyah, 25, dan Doan Thi Huong, 28, menghampiri Jong-nam di Balai Berlepas klia2 dan terus menyapukan cecair beracun VX ke muka dan mata mangsa.

"Keterangan juga menunjukkan selepas kedua-dua tertuduh melakukan perbuatan itu, mangsa terus pergi ke pegawai bertugas di Kaunter Khidmat Pelanggan untuk mengadu sebelum dibawa ke Klinik Terminal klia2," katanya dalam ucapan pembukaan pendakwaan pada hari pertama perbicaraan kes bunuh itu di Mahkamah Tinggi Shah Alam, semalam.

Ucapan berkenaan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Azmi Ariffin.

Muhamad Iskandar berkata, Jong-nam meninggal dunia ketika dalam perjalanan mendapatkan rawatan lanjut di Hospital Putrajaya.

Beliau berkata, melalui keterangan langsung, pendakwaan juga akan membuktikan Siti Aisyah dan Doan diberikan latihan 'prank' yang diselia oleh empat lelaki yang masih bebas bagi memastikan niat bersama mereka untuk membunuh Jong-nam.

"Ini berikutan keadaan mangsa biasa sahaja sebelum muka dan matanya disapu dengan cecair racun VX," katanya.

Kedua-dua tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Balai Berlepas, klia2, pada kira-kira 9 pagi, 13 Februari, mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Sumber: BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com