"Bukalah Mata, Wahai Tun! Lihatlah Realiti..." - PAS


ALOR SETAR - Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr Mahathir Mohamad digesa supaya "buka mata" dan melihat realiti sebenar tentang dakwaannya kononnya PAS mengkafirkan UMNO dan umat Uslam yang tidak menyokong PAS.

Ahli Jawatankuasa (AJK) Kerja PAS, Zakaria Ismail dalam satu kenyataan membidas bekas Perdana Menteri itu yang sebelum ini sengaja menimbulkan semula isu "Amanat Haji Hadi" yang telah lama diputuskan oleh pihak berkuasa agama di negara ini.

"Yang dikatakan Amanat Haji Hadi itu telah dibincangkan oleh pelbagai pihak berkuasa agama dan ia diputuskan sebagai bukan ucapan mengkafirkan sesiapa secara tertentu (ta'yin). Ia hanyalah ucapan menerangkan tentang batas-batas iman dan kufur.

"Tetapi Tun Mahathir tidak mahu mendengar pandangan pihak-pihak yang berautoriti dalam menilai ucapan tersebut. Beliau terus menerus menuduh PAS mengkafirkan ahli-ahli Umno kerana ucapan tersebut," katanya, memetik laman media rasmi PAS, Harakahdaily.

Tegas Zakaria, ramai ahli PAS dan UMNO di negara ini berstatus besan dan ipar duai setelah mereka mengikat tali persaudaraan melalui perkahwinan, sekali gus membuktikan propaganda Mahathir itu jelas tidak benar sama sekali.

"Walhal ramai sekali ahli PAS dan ahli Umno yang saling berbesan dan beripar duai sesama mereka. Jika benar PAS mengkafirkan Umno dan golongan yang tidak menyokong PAS, tentulah orang PAS hanya berkahwin sesama mereka!

"Kalau begitu macam manalah PAS boleh menambah pengaruh untuk terus menang di Kelantan dan pernah menang di Terengganu dan Kedah. Bukalah mata, wahai Tun! Lihatlah realiti," katanya, menyindir Pengerusi Pakatan Harapan itu.

AJK PAS itu juga menegaskan bahawa partinya tidak punya sebarang sebab untuk mengkafirkan UMNO mahupun umat Islam yang tidak menyertai PAS di negara ini.

"Tiada sebab untuk PAS menuduh mereka sebagai kafir," katanya menyangkal dakwaan Mahathir.

Pengerusi Pakatan Harapan itu sebelum ini mengungkit kisah lama dan menyerang PAS dan Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, yang dituduh mengkafirkan UMNO ketika Mahathir menjadi Presiden parti tersebut.

Walau bagaimanapun, pendekatan Abdul Hadi yang terkini dikatakan lebih mesra dengan Presiden UMNO, Dato' Seri Najib Tun Razak, sangat jauh berbeza dengan pendekatan terhadap Mahathir yang dulu sering keras memberi tekanan politik terhadap PAS.

PAS menegaskan bahawa meskipun tidak menjalin sebarang kerjsama politik dengan UMNO yang dipimpin Mohd Najib, namun parti itu sedia bekerjasama dengan parti Kerajaan itu bagi maslahat Islam dan kepentingan bangsa Melayu di negara ini. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com