Budak Suara Trompet Akibat Tertelan Alat Mainan Wisel


BUENOS AIRES – Ini mungkin satu insiden yang agak mencemaskan ibu bapa tapi lucu bagi orang ramai. Kesian… Tetapi anda juga mungkin tersenyum atau ketawa jika melihat video disiarkan.

Apa tidaknya, seorang budak lelaki yang berasal dari Tucuman, 1,311 kilometer dari sini mengeluarkan bunyi seperti trompet mainan atau itik getah mainan apabila membuka mulutnya dan bukan pula suaranya yang kedengaran!

Rakaman video berdurasi cuma 10 saat itu dikongsi oleh Dr. Santiago Gomez Zuviría dan menunjukkan kanak-kanak berusia lapan tahun yang tidak diketahui namanya, membuka mulut dan berbunyi semacam siulan trompet.

Pengguna akaun Facebook itu turut menulis kapsyen meminta ibu bapa agar berwaspada dengan perbuatan anak mereka agar tidak berlaku insiden sedemikian yang dilaporkan akhir bulan lalu di bandar utara Argentina tersebut.

Posting doktor berkenaan kemudian menjadi tular di negara Amerika Latin itu sehingga menerima kira-kira 2,000 tanda suka selain dikongsi lebih 86,000 kali dan hampir 100 komen sama ada berbaur jenaka atau simpati.

“Wisel tersebut berjaya dikesan tersangkut antara bahagian ‘larynx‘ dengan ‘pharynx‘ di leher pesakit berkenaan,” terang Dr. Zuviria ketika memberitahu portal antarabangsa HuffPost menerusi satu kiriman e-mel.

Menggunakan anestesia atau ubat bius, beliau berjaya mengeluarkan wisel tersebut dari kerongkong budak lelaki itu namun ujar Dr. Zuviria, ibu mangsa pula didapati lebih cemas berbanding budak itu sendiri yang agak tenang.

“Ia insiden yang tragik tetapi lucu. Saya tidak pernah melihat atau mendengar kes pelik seperti ini sepanjang hidup saya sediri,” kata beliau sambil menambah bahawa budak lelaki tersebut sudahpun pulih sepenuhnya.

Doktor itu turut memuat naik video tersebut ke akaun Facebooknya untuk memberi peringatan kepada orang ramai mengenai bahaya jika menelan barang yang tidak sepatutnya ditelan. – Agensi


No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com