Bubur Asyura Tabur Keju, Tarikan Program Asyura Perdana Di Kulim


ALOR SETAR - Bubur asyura ditabur keju menjadi salah satu tarikan pada tarikan Program Asyura Perdana Peringkat Daerah Bandar Baharu, Kulim, semalam.

Menu baru bubur asyura tersebut adalah hasil inovasi Persatuan Penduduk Taman Kelisa Emas yang mencipta kelainan bagi bubur berkenaan.

Menurut wakil persatuan itu, Ismail Ahmad, 56, idea menghasilkan bubur asyura keju itu hasil perbincangan bersama dengan orang lama dan belia.

“Bubur asyura ini dimasak menggunakan resepi turun temurun dikelolakan Azizah Rejab, 69, yang mempunyai pengalaman dalam memasak bubur asyura.

"Kami bergotong-royong membantu menyediakan bahan, termasuk gula kabong, santan, kacang hijau dan keju," katanya di majlis yang diadakan di Tasik Pentadbiran di Serdang, Kulim.

Program tersebut melibatkan pelbagai agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan serta Jawatankuasa Kemajuan dan keselamatan Kampung (JKKK) daerah Bandar Baharu.

Majlis turut dirasmikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar Baharu, Datuk Norsabrina Mohd Noor dan hadir sama, Pegawai Daerah Bandar Baharu, Mohd Fauzi Mustafa.

Ujar Norsabrina yang juga Pengerusi Jawatankuasa Sains, Inovasi dan Teknologi Maklumat, Komunikasi,Teknologi Tinggi dan Sumber Manusia negeri, program kali ketiga itu telah mendapat sambutan diluar jangka apabila sebanyak 60 kawah bubur asyura telah dimasak.

“Saya tidak sangka bubur asyura boleh ditabur keju bagi menyedapkan rasanya dan ia inovasi baru. Malah, bubur asyura dihasilkan pada program kali ini ada pelbagai rasa," katanya yang dipetik dari MyMetro. -Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com