Bomba Kedah Gesa Pusat Tahfiz, Sekolah Agama Daftar Segera


ALOR SETAR - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia boleh mengambil tindakan menutup mana sahaja sekolah agama dan maahad tahfiz yang tidak berdaftar dengan Jabatan Agama Islam Kedah (JAIK).

Menurut Pengarah JBPM Kedah, Abdul Razak Muda, pihaknya boleh mengeluarkan notis arahan penutupan premis tersebut mengikut Seksyen 13 Akta Perkhidmatan Bomba 1988.

Setakat ini, hanya 147 sekolah agama dan maahad tahfiz di negeri ini yang berdaftar dengan JAIK manakala selebihnya masih belum berbuat demikian.

“Sebanyak 118 buah sekolah agama dan maahad tahfiz sudah diperiksa sebelum ini. JPBM Kedah mendapati 80 peratus daripada sekolah yang diperiksa tidak menepati aspek keselamatan kebakaran seperti tiada alat pemadam api, tiada tangga dan pintu kedua untuk keluar, pemasangan jeriji yang tidak mematuhi piawai­an dan keadaan pendawaian elektrik yang kurang memuaskan.

“Hal seperti ini boleh me­ngancam keselamatan murid dan penghuni asrama terutama pada waktu malam apabila kesemua mereka tidur,” ujarnya, memetik laporan Utusan baru-baru ini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Kempen Mencegah Kebakaran serta pelancaran Skuad Bomba Sekolah Pondok dan Bomba Komuniti Zon 2 di Kampung Pondok Ampang Jeneri, Sik, baru-baru ini.

Dalam masa yang sama, beliau turut menggesa semua sekolah agama dan maahad tahfiz supaya mendaftar dengan JAIK bagi membolehkan JBPM melakukan pemeriksaan keselamatan kebakaran.

Malah, pihaknya juga akan bekerjasama dengan badan korporat, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), ahli politik dan pelbagai pihak lain bagi meningkatkan aspek keselamatan di sekolah pondok.

“Kebanyakan sekolah pondok ini mempunyai dana yang sedikit untuk menyediakan kelengkapan keselamatan yang secukupnya. Justeru, ini adalah antara inisiatif yang boleh kita ambil untuk membantu mereka,” katanya yang dipetik dari. -Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com