BN Kedah Sedia Pertimbang Calon Wanita Bertanding Parlimen


ALOR SETAR - Peranan penting yang dimainkan oleh golongan wanita di negeri ini menjadi faktor utama kepada Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah akan terus mengetengahkan mereka sebagai calon pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 nanti.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Negeri Kedah itu tidak menolak kemungkinan mengetengahkan calon wanita untuk bertanding di kerusi Parlimen pada PRU kali ini dan akan terus memberi tempat kepada wakil kaum Hawa itu di kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun).

"InsyaAllah dengan melihat kepada kemampuan mereka, kita akan pertimbangkan jika ada calon yang sesuai diketengahkan di peringkat Parlimen, sudah tentu juga di peringkat Dewan Undangan Negeri (Dun)," katanya kepada Kedahnews.com di sini, semalam.

Ahmad Bashah turut mengakui sudah mempunyai senarai calon wanita pada PRU kali ini dan sedang meneliti potensi seorang demi seorang nama-nama berkenaan. 

Namun begitu, setiap calon itu perlu dipastikan benar-benar mampu menggalas tanggungjawab yang diamanahkan oleh rakyat di kawasan masing-masing.

"Memang kita sudah ada, cuma sekarang ini kita sedang analisa satu persatu senarai nama ini untuk kita panjangkan ke peringkat atasan. Kita sedang teliti.

"Kita perlu pastikan nama yang tercalon nanti mampu menjalankan tugas dan boleh diterima oleh pengundi-pengundi dan membawa suara masyarakat di tempat masing-masing," ujar beliau lagi.


Ahmad Bashah berkata demikian sejurus menyempurnakan penyampaian Anugerah Wanita Cemerlang peringkat negeri Kedah kepada lebih 30 tokoh pelbagai bidang bertempat di Dewan Sri Negeri, Wisma Darul Aman di sini, semalam.

Turut bersama beliau adalah isterinya, Datin Seri Hizam Awang Ahmad dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pertanian dan Industri Asas Tani dan Pembangunan Usahawan Negeri, Datuk Suraya Yaacob, yang juga merupakan individu bertanggungjawab menganjurkan malam anugerah yang penuh gemilang itu.

Program anjuran bersama Jabatan Pembangunan Wanita Negeri dan Puspanita Negeri Kedah itu menyaksikan lebih 30 tokoh wanita diraikan sebagai penghargaan kepada jasa, pencapaian dan sumbangan mereka kepada masyarakat dan pembangunan di negeri ini. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com