Bina Pintu Air Di Sungai Perlis Atasi Banjir


KANGAR - Kerajaan Perlis akan memohon kerajaan pusat membina satu pintu air  di Sungai Perlis selain meminta kontraktor menyiapkan segera jambatan yang merintangi terowong pelepasan air dari Empangan Timah Tasoh di Kampung Tebing Tinggi  bagi mengatasi masalah banjir.

Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man berkata pembinaan pintu air baharu di Sungai Perlis dapat mengawal aliran air terutama semasa air pasang besar tetapi kos agak besar untuk ditanggung oleh kerajaan negeri.

“Fenomena air pasang melimpah ke daratan boleh dikawal dengan adanya pintu air di lokasi yang sesuai di samping dapat mengawal pertembungan air dari hulu dan hilir semasa musim hujan,” katanya semasa di temui di sini, semalam

Azlan berkata kelewatan menyiapkan jambatan di Kampung Tebing Tinggi oleh kontraktor pula disebabkan perunding projek tidak menjangka terdapat keperluan untuk menambah skop kerja.

“Struktur jambatan yang belum siap itu boleh rosak jika air dilepaskan melalui terowong manakala Empangan Timah Tasoh pula tidak dapat menampung lebihan air dan terpaksa dilepaskan menyebabkan jumlah air yang luar biasa melimpah ke kawasan kampung semasa hujan lebat baru-baru ini,” katanya.

Beliau juga berkata isu banjir tersebut diburukkan lagi oleh pembinaan projek-projek baharu yang ditambak lebih tinggi daripada kedudukan rumah-rumah sedia ada. - Bernama

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com