Beri Yang Terbaik, Penasihat Undang-Undang Negeri Gembira Bertugas Di Kedah


ALOR SETAR - Mencipta sejarah tersendiri, Dato' Nor Azura Mohamed Zohdi tidak menyangka dirinya terus mendapat limpahan rahmat Allah SWT apabila terpilih menerima Anugerah Wanita Cemerlang Negeri Kedah, semalam.

Nor Azura yang merupakan Penasihat Undang-Undang Kerajaan Negeri yang baru pulang dari tanah suci menunaikan ibadah haji, mengucapkan syukur ke hadrat ilahi atas penghargaan Kerajaan Negeri sepanjang menjalankan tugas dan tanggungjawabnya di negeri ini.

"Bila saya dapat tahu, saya rasa sangat gembira. Saya tak sangka sangat selepas saya balik dari ibadah haji, saya dapat anugerah ini.

"Alhamdulillah syukur sangat pada Allah. Saya rasa amat terharu dan berterima kasih kepada Kerajaan Negeri.

"Ini merupakan satu penghargaan kepada semua golongan wanita, terutama dalam bidang perundangan. Satu pengiktirafan kepada kami semua," katanya ketika ditemubual Kedahnews.com, di sini semalam.


Nor Azura sebelum itu menerima Anugerah Wanita Cemerlang Negeri Kedah bagi kategori perundangan atas kecemerlangan, pengorbanan, komitmen penuh dan dedikasi beliau menunaikan tanggungjawab selaku Penasihat Undang-Undang Kerajaan Negeri.

Beliau yang merupakan satu-satunya wanita bukan kelahiran Kedah yang menerima anugerah tanda pengiktirafan Kerajaan Negeri atas jasa baktinya selama tiga tahun tiga bulan dalam bidang perundangan di negeri Jelapang Padi ini.

Berusia 47 tahun, berasal dari Kuala Lumpur serta berpengalaman mengendalikan hal ehwal perundangan dana bidang tanah, pihak berkuasa tempatan dan sebagainya, bertugas di negeri Kedah merupakan satu pengalaman manis baginya.

"Saya sebelum ini bertugas sebagai Ketua Unit Tanah Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Jawatankuasa Khas Negara di Jabatan Peguam Negara. Jadi isu-isu tanah, PBT dan kontrak sememangnya suatu kebiasaan bagi saya.

"Jadi semua pengalaman saya di peringkat Persekutuan itu saya 'apply' di sini

"Mula-mula saya bertugas di sini, mungkin ada yang merasakan saya ini seorang yang agak terlalu tegas.. orang Kedah kata 'cenge' (garang)...

"Tapi tidak lama selepas itu saya dapat ia hanya sekadar tanggapan. Ramai yang mudah menyesuaikan diri dengan kaedah saya dan seronok bekerja dengan saya," ujar beliau, mengimbas detik pertamanya di Kedah.

Namun begitu, Nor Azura mengakui sangat seronok bertugas di negeri Kedah dan akan memberikan khidmat terbaik di negeri ini pada masa yang akan datang.

"Saya memang rasa seronok sangat bekerja kat Kedah ni dan saya rasa saya akan berikan lebih daripada apa yang orang Kedah sendiri berikan.

"Prinsip saya, sekiranya saya hendak melakukan sesuatu itu, saya akan berikan yang terbaik. Saya happy sangat sebab dapat kerjasama yang baik dari semua pihak di sini," katanya lagi.


Nor Azura merupakan salah seorang tokoh wanita yang menerima Anugerah Wanita Cemerlang Negeri Kedah dari Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah di majlis anugerah yang berlangsung di Dewan Sri Negeri, Wisma Darul Aman, semalam.

Turut hadir adalah isteri Menteri Besar, Datin Seri Hizam Awang Ahmad dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pertanian dan Industri Asas Tani dan Pembangunan Usahawan Negeri, Datuk Suraya Yaacob. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com