Bekas Tentera Mengaku Tidak Bersalah Ugut Bunuh Ibu Di Alor Setar


BEKAS tentera, 30, dihadapkan ke Mahkamah Majistret Alor Setar, semalam, bagi menghadapi tuduhan mengugut membunuh ibunya bulan lalu.

Mohd Asri Mansor, 30, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan meminta dibicarakan sejurus mendengar pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Majistret Aizuddin Zolkeply kemudian menetapkan kes untuk sebutan pada 29 Oktober ini serta lantikan peguam dan serahan dokumen.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja menakutkan secara jenayah terhadap Habibah Nanyan, 54, dengan berkata: “Aku nak buat hampa semua dalam rumah mati, aku yang bunuh".

Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada 21 September lalu, kira-kira 7.30 malam di sebuah rumah di Kampung Masjid Hujung Kampung, Alor Setar.

Mohd Asri didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pegawai Pendakwa Inspektor Ruslan Usman mencadangkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin namun mahkamah membenarkan jaminan RM2,700 selepas menimbangkan rayuan tertuduh yang mempunyai tanggungan isteri dan tiga anak masih kecil.

Sumber: MyMetro

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com