Bayi Disangkakan 'Patung' Maut Selepas Jatuh Dari Tingkat 6


BRADFORD - Siapa tidak trauma melihat seorang bayi baru berusia 18 bulan maut selepas jatuh dari tempat yang sangat tinggi?

Dalam kejadian yang berlaku di Newscastle House, Bradford, United Kingdom itu, seorang wanita bangsa Poland, Danuta Tomaszewicz, 59, yang sedang berbual di telefon menyaksikan bayi lelaki itu mati selepas ia jatuh dari tingkat enam sebuah apartmen.

Insiden yang berlaku pada jam 5.10 petang Sabtu itu pada mulanya disangkakan Tomaszevicz, sebagai anak patung yang jatuh dari balkoni.

"Dia mula tersedar itu adalah sememangnya bayi (bukannya patung) bila dia menyedari bayi tersebut cuba menarik nafas dan perutnya bergerak," kata anak saudaranya, Monika Tomaszewicz, seperti yang dipetik The Sun UK.

"Dia menjerit meminta bantuan lantas suami serta kawannya segera berlari ke bawah.

"Akibat kejadian itu dia tidak mampu untuk tidur langsung. Setiap kali dia memandang ke arah tingkap, pasti dia akan teringat kelibat bayi tersebut," ujarnya.

Pihak polis telah menahan seorang wanita berumur 23 tahun selepas disyaki terlibat dalam pembunuhan bayi tersebut. Polis juga telah meminta saksi tampil untuk memberi keterangan.

"Insiden seumpama ini sangat memberi kesan trauma dan pegawai terlatih sedang mencuba untuk menenangkan keluarga mangsa serta mereka yang menyaksikan kejadian," kata Detektif Superitendan Nick Wallen.

Pihak ambulans tiba di lokasi kejadian selepas 20 minit sejurus menerima panggilan.

Sumber: Astro Awani

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com