Banjir Di Padang Terap Semakin Surut


KUALA NERANG -  Mangsa banjir di beberapa  kampung sekitar Padang Terap  sejak Jumaat lalu   kini mampu menarik nafas lega apabila penduduknya sudah mulai  membersihkan rumah mereka  selepas air banjir semakin surut.

Normah Abd Rahman,32, dari Kampung Kubang Juluk  berkata,  dia dan keluarganya merasa lega selepas  air yang memasuki rumahnya sejak Jumaat lalu  sudah  semakin surut dan mengambil kesempatan itu untuk membersihkannya.

Katanya, semenjak air banjir  masuk ke rumahnya kira-kira jam 5.30 pagi kelmarin  menyebabkan didalam rumahnya  berbau busuk dan kawasan yang dinaiki air pula meninggalkan bekas lumpur  di dinding rumahnya itu.

“Saya  mengambil kesempatan itu untuk membersihkannya secepat mungkin kerana jika ditangguhkan  akan sukar untuk membersihkannya lagi. Air mula surut pada jam 6petang semalam dan saya sekeluarga memeriksa terlebih dahulu di sekeliling dalam rumah bimbang jika ada binatang berbisa turut masuk ke dalam rumah kami.

“Selepas itu barulah kami mula mencuci seluruh ruang tamu dan dapur serta membasuh perabot yang tidak sempat membawa naik ke atas rumah. Saya berharap banjir ini adalah kali terakhir pada tahun ini dan tidak akan berulang lagi ,” katanya.

Siti Nor Jannah Che Ngah,34,  pula berkata dia sekeluarga bergotong-royong  bagi membersihkan rumahnya yang tenggelam hampir 0.5 meter akibat banjir baru-baru ini.

Katanya, peralatan dapur dan  tikar  terpaksa dibasuhnya semula kerana tidak sempat menyelamatkannya akibat aliran air sungai yang deras pada malam banjir itu.

“Kali terakhir kami menghadapi banjir pada 2010 dan  bimbang gelombang kedua berikutnya akan berlaku sekali lagi. Oleh itu kami tidak akan menurunkan peralatan elektrik serta perabot yang diletakkan di tempat tinggi bagi mengelak dari  rosak jika berlakunya banjir sekali lagi,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) Padang Terap, Leftenan Roshidi Kassim (PA) berkata,paras air di kawasan yang dilanda banjir semakin surut.

Katanya, paras air di Sungai Padang Terap semakin surut tetapi itu bergantung kepada keadaan cuaca yang tidak menentu sejak akhir ini.

“Oleh itu saya menasihatkan penduduk di Padang Terap ini supaya menjaga keselamatan   anak-anak mereka   terutamanya yang tinggal di pinggir sungai  bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini berlaku.

“Walaupun air semakin surut tetapi arus sungai  masih lagi kuat dan boleh membahayakan kepada mereka yang menangkap ikan. Saya menasihatkan jika berlakunya peningkatan paras air semula mereka boleh menghubungi APM ditalian 04-7864991 supaya kerja menyelamat dapat dilakukan,” katanya.

Sumber: Sinar Harian

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com