BAM Bawa Masuk Enam Pemain Baharu


KUALA LUMPUR - Enam pemain baharu daripada sebuah kelab tempatan akan dibawa masuk ke dalam Persatuan Badminton Malaysia (BAM) tidak lama lagi.

Presiden BAM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria berkata keenam-enam pemain berkenaan akan  memperkuatkan kem beregu campuran dan beregu lelaki negara.

“Dalam tempoh seminggu atau dua minggu lagi kita akan buat pengumuman mengenai kemasukan enam pemain kelab itu.

“Buat masa ini, kita tidak dedahkan dahulu nama mereka kerana masih berbincang. Yang penting prestasi mereka amat baik ketika ini. Mereka akan diserapkan kebahagian-bahagian yang relevan,” katanya.

Mohamad Norza turut menjelaskan bahawa keputusan untuk memasukkan enam pemain luar ke BAM itu dipersetujui jawatankuasa kejurulatihan dan latihan (C and T).

Katanya, dalam kalangan enam pemain berkenaan ada yang pernah berada di bawah naungan BAM, namun enggan mendedahkan nama barisan pemain ekoran masih dalam proses perbincangan.

Sementara itu, Mohamad Norza berkata tiada perubahan berlaku dalam struktur kejurulatihan seperti yang dipersetujui dalam C and T sebelum ini, selepas pengarah teknikal Morten Frost Hansen melepaskan jawatannya.

Katanya, beliau telah maklumkan kepada semua ketua jurulatih bahawa tempoh ‘bulan madu' untuk skuad badminton negara telah tamat.

“Kami mengekalkan struktur sedia ada yang mana lima jurulatih akan melaporkan kepada C and T. Jurulatih juga gembira dengan struktur sedia ada ini. Mereka perlu mengkaji dan memahami pemain dan pembantu mereka.

“Saya sudah beritahu mereka bahawa tempoh bulan madu sudah tamat dan jurulatih juga faham. Buat pertama kalinya ia permainan Malaysia. Saya yakin mereka akan membawa perubahan yang diperlukan tidak lama lagi,” katanya.

Sumber: Mstar Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com