Bajet Pakatan Harapan Ulangi Janji Lama, Kosong Dan Tak Masuk Akal


DUA menteri kabinet menyifatkan bajet alternatif Pakatan Harapan yang diketuai DAP hanya sekadar mengulangi janji lama, kosong dan tidak 'masuk akal' semata-mata untuk memancing undi rakyat pada pilihan raya umum akan datang.

Sebalik Bajet 2018 yang akan dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak esok adalah lebih realistik dan memberikan keutamaan kepada seluruh rakyat dan pembangunan negara.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, bajet pembangkang sudah  dijangka oleh semua pihak iaitu menghapuskan cukai barang dan perkhidmatan (GST) serta tolselain itu, pakatan pembangkang itu sekali lagi menjanjikan pendidikan tinggi percuma.

Walau bagaimanapun, beliau yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata, pakatan pembangkang itu sehingga kini masih gagal dalam menyediakan pelan yang konsisten iaitu tidak berjaya menerangkan bagaimana segala yang dijanjikan percuma tersebut dapat ditanggung pada masa hadapan.

“Faktanya, penghapusan GST akan meninggalkan lubang besar dalam perolehan kerajaan yang perlu dipenuhkan. Selain daripada berkongsi pelan untuk menampung kejatuhan dalam perolehan, mereka (Pakatan Harapan) hanya bergantung kepada pemotongan cukai yang akan mengakibatkan penggunaan lebih tinggi dan pengumpulan cukai,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Tambah Mustapa, agenda ekonomi hanya boleh diyakini jika perbelanjaan yang dirancang disokong dengan langkah-langkah penjanaan hasil yang diperlukan untuk pembangunan.

Sehubungan itu, beliau berharap matlamat utama rakyat tidak diseleweng oleh langkah populis dan tidak lestari seperti mana yang digariskan dalam bajet alternatif tersebut.

“Untuk pakatan politik yang berterusan menyebarkan dakwaan bahawa Malaysia menuju muflis di bawah kerajaan Barisan Nasional, mereka sebenarnya yang membawa negara ini ke arah itu,” ujarnya.

Menurut Mustapa, bajet yang akan dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Jumaat ini akan lebih bertanggungjawab bagi menjana status ekonomi berpendapatan tinggi, berbeza dengan tawaran pihak pembangkang.


Sementara itu,  Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan menyifatkan bajet Pakatan Harapan yang diketuai DAP boleh dirumuskan sebagai tidak bertanggungjawab, tidak realistik dan tidak mampan.

Dalam bajet itu  pakatan itu berjanji akan ber­belanja secara berhemah, memotong cukai dan mahu rakyat memilih mereka, tetapi semua itu hanya janji kosong.

Katanya, jika mereka mahu berbelanja secara berhemah, sepatutnya perbelanjaan mengurus menurun bukannya meningkat.

“Seperti bajet alternatif tahun-tahun sebelum ini, tidak ada rancangan bagaimana mereka mahu menampung kos membeli konsesi-konsesi tol.

Tiada rancangan yang jelas bagaimana mereka akan membayar RM40 bilion pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasio­nal (PTPTN) daripada institusi-institusi kewangan atau bagaimana mereka mahu menjimatkan RM20 bilion setiap tahun dengan membanteras rasuah.

“Ini belum mengambil kira fakta bahawa menghapuskan tol, menyediakan pendidikan percuma dan meningkatkan gaji minimum akan menelan belanja beratus bilion ringgit untuk jangka masa panjang,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambah Abdul Rahman, Pakatan Harapan tidak akan memberitahu rakyat bahawa perbelanjaan mengurus kerajaan DAP Pulau Pinang telah mening­kat berkali-kali ganda daripada RM252.3 juta pada 2007 kepada RM825.9 juta pada 2016 dan Sela­ngor daripada RM1.15 bilion (2008) kepada RM2.34 bilion (2016).

Di Pulau Pinang juga, jelasnya, konsep cekap, akauntabiliti dan telus (CAT) yang kononnya diamalkan kerajaan negeri tidak dapat menghalang Ketua Menteri mereka daripada menyalah guna kuasa untuk kepentingan peri­badinya.

“Kita tidak patut memperjudikan masa depan kita dengan bergantung kepada janji-janji pembangkang yang tidak masuk akal,” ujarnya.

Menurut Abdul Rahman, rak­yat patut sedar bahawa bajet yang akan memberi kesan positif kepada mereka adalah bajet yang akan dibentangkan oleh Perdana Menteri,pada Jumaat ini. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com