Baiki Segera Rumah Mangsa Ribut


KUALA TERENGGANU - Hampir 500 kediaman yang rosak dipukul ribut di daerah ini dan Marang, petang semalam, akan dibaiki dengan kosnya diuruskan oleh Pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN).

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman, berkata beliau sudah mengarahkan Pejabat DUN di dua daerah terbabit membuat laporan dan menyalurkan bantuan segera kepada mangsa yang terbabit.

"Kita tidak ada peruntukan khusus, tetapi segala kos membaiki rumah yang rosak dibadai ribut petang semalam, akan diuruskan oleh pihak DUN.

"Buat masa ini kita baru menerima beberapa laporan dengan jumlah keseluruhan rumah yang rosak akibat ribut sebanyak 451 setakat ini, iaitu 338 di Alor Limbat, Machang Lada (32), Paya Resak (8), Bukit Payong (12) dan Manir (61).

"Kita masih menunggu beberapa laporan lagi daripada pihak DUN dan Jawatankuasa Kebajikan dan Keselamatan Kampung (JKKK)," katanya selepas melawat beberapa kawasan yang teruk dibadai ribut di sini, semalam.

Ahmad Razif berkata, beliau sudah mengarahkan supaya rumah mangsa yang terjejas dibaiki dengan kadar segera.

Sementara itu, seorang mangsa, Mohd Ramlan Ramli, 36, dari Kampung Pusu Tiga, Alor Limbat berkata, ribut yang disusuli dengan hujan lebat dan petir petang semalam kejadian paling buruk dalam tempoh 30 tahun.

Katanya, ketika kejadian beliau tiada di rumah kerana bekerja dan dan terkejut apabila mendapati atap rumahnya bertebaran di atas jalan kerana diterbangkan ribut dan rumah dilimpahi hujan.

"Selain bumbung, peralatan elektrik dan sistem pendawaian rumah juga rosak teruk. Bagaimanapun, saya bersyukur isteri dan empat anak yang berada di rumah ketika kejadian tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya.

Sumber: BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com