Badan Hazama 'Bertatu' Dalam Video Muzik Baharu Undang Kecaman


KUALA LUMPUR - Tampil unik dengan badan bertatu dan rambut ala Bob Marley untuk video muzik terbaru, penyanyi, Hazama Azmi, mengundang pelbagai persepsi daripada netizen.

Hazama, 33, berkata, konsep yang dipilih itu dilihat bertepatan dengan mesej cuba disampaikan menerusi lagu, Aku Bukan Dewa, yang dilancarkan baru-baru ini.

"Lagu ini mempunyai mesej mendalam yang perlu dihayati menerusi muzik video terbabit.

"Klip berkenaan pula dirakam di Pulau Kapas, Terengganu, kerana secara peribadi, saya memang mencintai pulau," katanya kepada BH Online.

Menurut Hazama, video berkenaan mengisahkan mengenai seorang banduan yang baru saja dibebaskan dan ingin memulakan hidup baharu.

"Jadi, tatu dan rambut panjang itu menjadi perlambangan kepada dosa lalu yang cuba untuk dihapuskan.

"Biarpun majoriti peminat memahami konsep badan bertatu khas untuk muzik video ini, namun ada juga segelintir pihak yang mempersoalkan tindakan saya itu," katanya.

Aku Bukan Dewa turut menampilkan penyanyi rap, Altimet, menyumbangkan suaranya dalam single yang dilancarkan pada 6 Oktober lalu itu.

Biarpun baru saja muncul dengan single berjudul Aku Yang Sebenar, beberapa bulan lalu, Hazama berkata, beliau mempunyai strategi tersendiri untuk tampil relevan dalam persada seni tempatan.

"Produk terbaru ini menampilkan sisi matang peralihan saya sejak mula berkecimpung dalam bidang seni.

"Saya bukan sekadar mempertaruhkan vokal semata-mata, tetapi turut memberi kelainan dari segi genre muzik," katanya.

Sumber: BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com