Austria Larang Pemakaian Burqa, Topeng


VIENNA – Austria me­ngenakan sekatan baharu berkuat kuasa semalam yang mengharamkan pemakaian burqa serta topeng ketika berada di tempat awam atau dalam bangunan.

Portal Mail online melaporkan, larangan turut dikenakan terhadap sebarang pemakaian kostum atau topeng badut, topeng perubatan dan sapu tangan untuk menutup muka, dengan penduduk hanya dibenarkan berbuat demikian di bawah syarat tertentu sahaja.

Dalam keputusannya, para pegawai di Vienna berkata, sekatan tersebut bertujuan untuk memastikan perpaduan dalam masyarakat terbuka dan mereka yang ingkar akan didenda sehingga 150 euro (RM748).

“Menerima dan menghormati nilai-nilai masyarakat Austria adalah syarat asas bagi kesatuan hidup yang berjaya antara majoriti penduduk Austria dengan rakyat dari negara ketiga yang tinggal di sini.

“Pengecualian hanya akan diberikan berdasarkan syarat-syarat seperti penyamaran badut ‘pada acara kebudayaan’, kewajipan topeng perubatan ketika bekerja dan keperluan selendang dalam cuaca sejuk,” katanya.

Langkah sama seperti yang diambil oleh negara-negara Kesa­tuan Eropah lain itu turut dikenakan kepada pelawat walaupun diketahui ramai pelancong Arab sering bercuti di negara ini.

Langkah lain yang akan berkuat kuasa termasuk pendatang perlu menandatangani ‘kontrak integrasi’ dan mengikuti kursus nilai-nilai asas Austria.

Sumber: Utusan Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com