Asal Usul Sungai Petani, Bandar Utama Kedua Negeri Kedah


SUNGAI PETANI merupakan bandar kedua terbesar di negeri Kedah dan terletak kira-kira 55 kilometer arah selatan daripada ibu negeri, Alor Setar, dan terletak di dalam daerah Kuala Muda.

Fakta sejarah menukilkan bahawa Sungai Petani mengambil namanya dari anak sungai yang mengalir dari Sungai Merbok. Difahamkan bahawa perkampungan terawal muncul adalah di tanah tinggi yang sekarang terletak sebagai Pekan Lama.

Pembangunan di bandar Sungai Petani bermula dengan pesatnya diawal abad ke 20.

Pentadbiran British bermula pada tahun 1909 dengan kemasukan golongan pendatang ke Kedah seperti kaum Cina dari Negeri-negeri Selat dan kaum India yang dibawa British untuk mengendalikan ladang getah di sekitar selatan Kedah.

Pada Akhir tahun 1921, Bandar Sungai Petani yang sengaja dirancang oleh pihak pentadbir kolonial telah mempunyai penduduk seramai 4578 orang.

Terawal dari jalan keretapi di Kedah telah lama siap dalam tahun 1915 dan oleh kerana kebanyakan pelombong dan peladang terletak di selatan Kedah maka bandar Sungai Petani telah mendapat faedah kerana ia semakin maju dengan pesatnya.


Dalam tahun berikutnya dikatakan Sungai Petani telah membangun dan sudah terbina 109 buah rumah dan banyak lagi sedang dibina.

Sejak pentadbiran British satu rancangan jalanraya telah dibuat menghubungkan Alor Setar dengan kawasan selatan Kedah.

Jalanraya yang dipilih adalah selari dengan terusan Wan Mat Saman. Jalan yang menghubungkan Alor Setar dengan Sungai Petani telah siap dalam tahun 1913.

Selain menghubungkan ibu negeri dengan kawasan selatan, jalanraya tersebut menjadi nadi utama penghubung Sungai Petani.

Diantara bangunan warisan yang menjadi mercu tanda bandar Sungai Petani ialah menara jam di Jalan Ibrahim yang telah dibina dalam tahun 1934 dengan kos sebanyak RM17,000 pada ketika itu dan telah disumbangkan oleh Lim Lian Teng kepada penduduk Sungai Petani sempena memperingati King George (1910-1936). - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com