Anak Dara Kedah Bawa Traktor Kini Bergelar Duta


ALOR SETAR - Selepas mendapat gelaran 'gadis traktor', tuah berpihak kepada gadis jelita terbabit apabila diberi kepercayaan oleh Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada) untuk menjadi 'duta kecil' agensi berkenaan.

Nurul Syifa Mat Dzahid, 22, yang pernah dikecam gara-gara videonya membawa traktor di sawah menjadi tular di laman sosial, anak dara Kedah kini mencuri tumpuan pengunjung di Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan 2017 (HPPNK) di Tapak Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang baru-baru ini.

"Tidak sangka pula ada yang mula menegur saya di HPPNK 2017 dan mereka bertanya adakah saya 'gadis traktor' yang tular baru-baru ini.

"Segan pun ada apabila mereka ajak bergambar. Tapi, saya ambil kesempatan tersebut untuk menerangkan mengenai peranan Mada dalam memajukan institusi peladang kepada pengunjung," katanya yang dipetik dari Mstar Online.


Tambah gadis asal Jitra itu, sejak video tersebut menjadi perhatian netizen, ramai golongan wanita muda tampil mendedahkan bahawa mereka juga berkebolehan mengendalikan traktor.

Nurul Syifa yang bertugas selaku pembantu tadbir komunikasi korporat di Mada berharap lebih ramai golongan muda sama ada lelaki atau wanita menceburi bidang perladangan kerana ia bukan sahaja mendatangkan hasil lumayan, malahan membantu menjana ekonomi negara.

"Ada yang kata pakaian yang saya pakai tidak sesuai. Janganlah pula jadikan ia sebagai alasan untuk tidak mencuba bidang ini.

"Ini bukan kerjaya yang kotor atau sesuai untuk golongan berusia sahaja, tapi sebenarnya ramai yang sudah bergelar jutawan dengan mengusahakan ladang," ujarnya.

Disamping itu, Ketua Cawangan Komunikasi Mada, Mohd. Hafizi Zakaria berkata, populariti yang diraih Nurul Syifa telah membuka mata golongan muda mengenai latihan yang ditawarkan industri tersebut.

"Golongan muda sebenarnya sudah nampak potensi bidang perladangan ini sebagai kerjaya masa depan, tapi lepas video dia tular, semakin ramai gadis yang tidak lagi segan mengaku mereka bekerja di bendang.

"Mungkin ia bukan kerjaya glamor, tapi anak muda sudah semakin bijak menilai potensi yang boleh dikembangkan daripada sektor perladangan," katanya.

Ujar Mohd. Hafizi, agensi berkenaan turut menubuhkan Pusat Latihan Beras Mada (MRTC) sebagai pusat latihan kemahiran dalam mentransformasi industri padi negara.

Malah, golongan tercicir daripada melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi dan mempunyai minat tinggi dalam industri padi menjadi sasaran MRTC.

Terdahulu, video rakaman peribadi Nurul Syifa mengendalikan sebuah jentera berat ketika menjalani latihan di Kompleks Latihan Mada, Alor Serdang di Kedah telah menjadi tular dan dikecam hebat netizen gara-gara kasut dan baju yang dipakai tidak bersesuaian ketika membawa traktor disawah.- Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com