Amirul Gesa Penyokong Helang Merah Tepis Khabar Angin


ALOR SETAR - Pemain skuad bawah 23 tahun negara (B-23), Amirul Hisyam Awang Kecik meminta penyokong Kedah supaya tidak gusar dengan khabar angin yang mengatakan dia bakal berhijrah ke pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT) pada musim depan.

Amirul menegaskan perkara itu tidak benar dan hanya sekadar gosip yang tular dalam media sosial tanpa sebarang pengesahan.

"Tak ada apa yang perlu dirisaukan, saya anggap perkara itu hanya khabar angin dan perkara yang menjadi kebiasaan, bukan saja kepada saya tetapi juga kepada pemain setiap kali berada di hujung musim.

"Demi penyokong Kedah yang mengharapkan kejayaan seterusnya, saya mahu terus fokus memburu kejayaan bersama Kedah dan kesetiaan saya adalah untuk pasukan Kedah," katanya.

Amirul yang kali pertama menyertai latihan pasukan Kedah di Stadium Sultan Abdul Halim (SSAH) Suka Menanti, sejak semalam kelihatan ceria memulakan latihan selepas pasukan bercuti rehat sejak minggu lalu.

Ketika ini, tumpuannya lebih terarah kepada persiapan saingan separuh akhir pertama Piala Malaysia Kedah menentang FELDA United di Stadium Tun Abdul Razak Jengka pada 15 Oktober ini.

"Pada pertengahan musim ini, saya dihimpit kecederaan hamstring dan kaki. Saya tidak dapat beraksi di separuh akhir Piala FA (menentang Terengganu), dan inilah detik terbaik untuk saya menggalas tugas membantu pasukan.

"Impian saya kini adalah untuk melihat Kedah mara ke final Piala Malaysia buat kali ketiga berturut turut dan mengekalkan kejuaraan pada tahun ini," katanya.

Sumber: BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com