Air Punca MH1 Berpatah Balik


KUALA LUMPUR - Penerbangan Malaysia Airlines MH1 dari London ke Kuala Lumpur terpaksa berpatah balik ke Lapangan Terbang Heathrow selepas lebih sejam berlepas, awal pagi tadi berikutan masalah sistem bekalan air dalam pesawat.

Menurut Twitter Flight Alert @FlightAlerts777, pesawat berkenaan dilaporkan membuat pusingan U di Belgium.

MAS dalam satu kenyataan berkata, pesawat berkenaan yang berlepas dari London pada jam 9.35 malam waktu tempatan semalam (4.45 pagi tadi waktu Malaysia) sepatutnya mengambil masa selama 12 jam dan dijadualkan tiba di Kuala Lumpur pada jam 5.50 petang ini.

Bagaimanapun, akibat masalah itu, pesawat terpaksa berpatah balik ke London dan selamat mendarat di Lapangan Terbang Heathrow pada jam 11.10 malam tadi waktu tempatan (6.20 pagi tadi waktu Malaysia).

"Jurutera sudah bersedia untuk membetulkan masalah terbabit sebaik pesawat mendarat.

"Semua penumpang ditempatkan di hotel berhampiran lapangan terbang sementara menanti perjalanan baharu," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Syarikat penerbangan itu turut memohon maaf kepada semua penumpang atas kesulitan berkenaan dan akan membantu penumpang untuk menempah tiket bagi penerbangan sambungan dari Kuala Lumpur.

Sementara itu, menurut laman web rasmi MAS, penerbangan itu berlepas semula dari London pada jam 1.40 pagi tadi waktu tempatan (8.40 pagi tadi waktu Malaysia) dan dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 9.26 malam nanti.

Sumber: BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com