Ahli UMNO Kedah Diyakini Takkan Khianat Parti Dengan Kehadiran PPBM, Mahathir


ALOR SETAR - Ahli dan penyokong UMNO di negeri Kedah diyakini tidak akan mengkianati parti pada Pilihanraya Umum ke-14 (PRU14) akan datang  kerana kehadiran parti baharu, PPBM yang dipimpin oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad dan anaknya, Datuk Seri Mukhriz.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, walaupun kedua-dua beranak itu masih ada pengaruh di kawasan tertentu di Kedah, secara umum keyakinan orang Melayu masih kepada UMNO untuk menerajui pentadbiran negeri sejak PRU pertama hingga sekarang, kecuali pada 2008-2013 apabila dimenangi Pakatan Rakyat.

Menurut beliau, rakyat, khususnya orang Melayu masih melihat kepada kebolehan parti untuk memerintah dan bukan individu tertentu. 

"Pada sa­yalah dalam sebuah negara demokrasi, dalam ber­politik ini, Dr. Mahathir perlu ingat bahawa beliau datang bersama UMNO dan dalam kerajaan yang memerintah,  bukannya datang atas individu bernama Mahathir Moha­mad," kata Mahdzir lagi.

"Beliau datang atas nama parti politik, kalau Dr. Mahathir bertanding atas nama Mahathir Mohamad dan beliau menang itu lain, tetapi beliau datang atas parti politik.

UMNO inilah yang bawa Dr. Mahathir dahulu, baharulah beliau berpeluang menjadi Perdana Menteri,"kata Mahdzir yang juga Menteri Pelajaran dalam wawancara khas dengan sebuah akhbar tempatan semalam. 

Demikian  juga Mukhriz, kemampuan BN merampas semula Kedah pada PRU13 bukan kerana 'kehebatan' bekas Menteri Besar Kedah yang kini Timbalan Presiden PPBM.

 " Saya tak fikir Mukhriz semasa dipromosikan itu menjadi faktor utama. BN menang sebab, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah jadi Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah dan Pengarah Pilihan Raya negeri tiga tahun lebih awal daripada PRU13, " kata Mahdzir yang juga, Ahli Parlimen Padang Terap. 

"Sebenarnya strategi untuk menang pilihan raya ini telah dibuat lebih awal dan berterusan, cuma di penghujung­ kempen sahaja baharu kita umumkan bakal menteri besarnya adalah Mukhriz, katanya.
Untuk rekod,  nama Mukhriz 'diumum' sebagai Menteri Besar dua atau tiga hari sebelum tarikh PRU13 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sekiranya BN berjaya merampas semula negeri itu.

Menurut Mahdzir,  BN lebih awal sudah meletakkan jangkaan berapa jumlah kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang akan menang dan jumlah itulah juga yang kita dapat pada PRU13.

Jadi adalah tidak benar jika Mukhriz mendakwa kalau tidak kerana dia , BN tak menang di Kedah, kata Mahdzir

Seperti juga pasukan bolasepak Kedah, tanpa Mukhriz sebagai Presiden KFA, skuad Helang Merah juga menang dan mampu pertahan Piala Malaysia, malah tahun ini ditambah lagi dengan muncul sebagai juara Piala FA.- Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com