7 Tahun Jadi Mayat, Diisytihar Mati Oleh Kerajaan


Seville (Sepanyol) - Seorang wanita, Juana Escudero boleh dianggap sebagai ‘mayat hidup’ selepas satu kesilapan pendaftaran menyebabkan dia diisytiharkan sebagai sudah meninggal dunia oleh kerajaan.

Selama tujuh tahun, Juana, 53, berusaha membuktikan dia masih hidup dan berdepan pelbagai kesukaran seperti tidak boleh memperbaharui cukai jalan atau mendapat rawatan di hospital.

Malang yang menimpa Juana bermula tujuh tahun lalu apabila seorang wanita yang mempunyai nama dan tarikh lahir yang sama dengannya meninggal dunia di Malaga, Sepanyol.

Keadaan itu menyebabkan data Keselamatan Sosial keliru dan Juana yang tinggal di Alcala de Guadaira di Seville dianggap sudah mati oleh kerajaan.

Juana kali pertama mengetahui dia sudah diisytiharkan mati kira-kira tujuh tahun lalu apabila dia mendapatkan rawatan di hospital.

“Apabila nama saya dimasukkan ke komputer data Keselamatan Sosial menyatakan saya sudah mati,” katanya.

Juana kemudian pergi ke Jabatan Keselamatan Sosial dia mendapati situasinya lebih sulit apabila dia diisytiharkan mati oleh semua agensi kerajaan.

Sejak itu, Juana dan keluarganya berusaha membuktikan dia masih hidup tetapi sehingga kini usaha itu tidak membuahkan hasil.

Sepanjang tempoh itu Juana berdepan pelbagai masalah termasuk tidak boleh memperbaharui lesen memandu dan tidak dapat bantuan balu selepas suaminya meninggal dunia.

Dia juga berdepan tindakan undang-undang oleh jabatan perbendaharaan kerana didakwa mencuri identiti.

Kerana terdesak, Juana memfailkan petisyen di mahkamah untuk membuat ujian DNA pada mayat wanita yang mati di Malaga itu bagi membuktikan dia masih hidup.

Apa yang menarik, walaupun Juana dianggap sudah mati oleh kerajaan, bank masih menghantar surat peringatan bayaran hutang peribadi, hutang rumah dan insurans nyawa.

Sumber: Metro

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com