6 Kedai Musnah Terbakar Di Baling Akan Dibina Semula - Azeez


BALING – Deretan enam kedai yang musnah dalam satu kebakaran pada September lepas di Kampung Bandar, Mukim Siong di sini akan dibina semula berlokasi di tapak yang sama dalam tempoh 60 hari bermula hari ini.

Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, kos pembiayaan bagi keseluruhan pembinaan semula yang berjumlah sebanyak RM170,000 merupakan peruntukan khas daripada Pejabat Parlimen Baling.

“Ini adalah inisiatif Pejabat Parlimen Baling dalam membantu mangsa kebakaran membina semula kedai mereka yang musnah teruk dan seterusnya memastikan perniagaan yang terjejas sebelum ini, beroperasi semula,” katanya kepada media selepas merasmikan majlis pecah tanah untuk pembinaan semula kedai itu, hari ini.

Memetik Bernama, Abdul Azeez bagaimanapun berkata, pihaknya perlu menetapkan beberapa syarat yang sudah pun dipersetujui pemilik dan penyewa premis berkenaan bagi mengelak berlakunya konflik antara kedua-dua pihak itu selepas bangunan tersebut siap nanti.

Jelas beliau, antara syarat yang dipersetujui adalah pemilik kedai wajib memberi sewa selama 24 bulan kepada penyewa asal dengan harga sewa tidak dinaikkan selain tempoh 24 bulan itu perlu bermula pada hari mereka menerima kunci kedai yang sudah dibina semula nanti.

"Bagaimanapun, sekiranya dalam tempoh 24 bulan pemilik tidak mahu meneruskan sewaan atau penyewa mahu berpindah ke tempat lain, mereka perlu memberi notis pemberitahuan tiga bulan sebelum melakukannya.

"Selain itu, untuk enam bulan pertama tiada bayaran sewa dikenakan memandangkan pemilik kedai tidak perlu menanggung kos baik pulih kedai mereka," katanya lagi.

Selain itu, Abdul Azeez yang juga merupakan Pengerusi Tabung Haji itu berkata, beliau juga akan memohon kelulusan khas daripada Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun) Nasional untuk pinjaman sebanyak RM20,000 kepada setiap mangsa kebakaran itu bagi memulakan semula perniagaan mereka.

Sementara itu, seorang mangsa kebakaran tersebut, Mohd Nazri Ismail, 49, berkata dia sangat bersyukur dengan pembinaan semula kedai yang secara tidak langsung mengurangkan bebannya selepas berlaku kebakaran.

“Kami sambut baik pembinaan ini malah bersetuju dengan syarat yang telah ditetapkan. Lebih melegakan, bangunan itu bukan saja siap dibina baharu tetapi lengkap dengan sistem pendawaian elektrik dan saliran air,” katanya. – Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com