596 Kes Lemas Dicatat Dalam Setahun Seluruh Negara


SEBANYAK 596 kes lemas dilaporkan setahun atau purata 1.6 orang mati sehari di seluruh negara sama ada di laut, sungai atau tasik.

Timbalan Setiausaha I Bahagian Dasar dan Inspektorat, Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Khoh Joo Bee berkata, walaupun angka berkenaan dicatatkan sepanjang 2009 hingga 2013, namun ia tetap membimbangkan.

Katanya, kebanyakan mangsa lemas berusia antara lima hingga 26 tahun yang merangkumi 50 peratus daripada jumlah keseluruhan mangsa.

"Berdasarkan kadar lemas yang dianggap tinggi, ia menunjukkan masih ramai tidak mengambil berat mengenai tip keselamatan ketika berada di air.

"Selain faktor kecuaian, ia turut membabitkan kegagalan mangsa mematuhi papan arahan dipasang pihak berkuasa," katanya selepas merasmikan Program Kesedaran Keselamatan Aktiviti Air di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Bagan Ajam, Butterworth, hari ini.

Sempena program berkenaan, satu demonstrasi menyelamat mangsa dalam air dijalankan membabitkan Jambatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, Pasukan Polis Marin dan Penang Port Sdn Bhd.

Program pertama kali di Pulau Pinang itu memberi fokus kepada pelajar dan kanak-kanak kerana golongan berkenaan paling ramai menjadi mangsa.

Pelajar turut didedahkan cara asas berenang dan cara menyelamat mangsa di air.

Sementara itu, Pengarah JBPM negeri Saadon Moktar berkata, sehingga 20 Oktober tahun ini, pihaknya mengendalikan 25 kes kecemasan menyelamat mangsa lemas termasuk kes terjun Jambatan Pulau Pinang.

Katanya, daripada jumlah berkenaan, sembilan kes berjaya diselamatkan.

Sumber: MyMetro

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com