53 Nelayan Ditahan Atas Pelbagai Kesalahan Di Kedah


ALOR SETAR - Jabatan Perikanan Kedah bertindak menahan seramai 53 nelayan yang didapati bersalah melakukan pelbagai kesalahan mengikut Akta Perikanan 1985.

Penahanan tersebut dilakukan dalam operasi yang dijalankan di perairan Kedah Utara dan Kepulauan Langkawi bermula 4 hingga 10 Oktober yang lalu.

Pengarahnya, Abdul Halim Marzuki berkata, operasi tersebut dinamakan Operasi Pemantauan, Kawalan dan Pengawasan (Program MCS) yang melibatkan dua bot peronda jabatan dan disertai 10 anggota.

"Melalui operasi itu, pihak kami menahan 51 nelayan tempatan dan dua nelayan asing berusia antara 30 hingga 50 tahun kerana melakukan aktiviti-aktiviti melanggar Akta Perikanan 1985.

"Untuk itu, kita menahan dan menyita enam bot dan peralatan menangkap ikan dianggarkan bernilai RM6 juta. Malah, hasil tangkapan ikan sebanyak RM5,000 turut dirampas," katanya.

Difahamkan bahawa kesemua nelayan terbabit telah menjalankan aktiviti -aktiviti yang melanggar Akta Perikanan 1985 dan boleh juga digantung atau dibatalkan lesen mereka dibawah Seksyen 13 akta sama.

Jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan kompaun sebanyak RM500 ataupu sehingga tidak lebih RM20,000 atau didakwa di mahkamah dibawah Seksyen 25, Seksyen 26 dan Seksyen 31 Akta Perikanan 1985. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com