'30 Tahun Selamba Pandu Tanpa Lesen' -JPJ Perlis


KESALAHAN memandu kenderaan tanpa lesen direkodkan paling banyak dilakukan oleh penduduk Perlis sejak Januari lalu hingga bulan ini.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri, Shahrul Azhar Md Dali berkata, pihaknya kesal kesalahan berkenaan seolah-olah dilihat biasa oleh segelintir pengguna jalan raya di negeri itu.

"Daripada 4,008 saman yang kita keluarkan bermula Januari lalu, 1,898 saman adalah berkaitan kesalahan menggunakan kenderaan di atas jalan raya tanpa lesen memandu.

"Saman yang dikeluarkan ini meliputi berbagai peringkat umur," katanya pada sidang media sempena Hari JPJ Bertemu Anda di Arau, semalam.

Mengulas lanjut, Shahrul Azhar berkata, ketika sesi pertemuan pihaknya bersama pesalah berkenaan, ada antara mereka selamba mengaku tidak mempunyai lesen memandu untuk satu tempoh yang begitu lama.

"JPJ pernah menemui pesalah yang mengaku sudah bergerak serata negeri tanpa lesen memandu sejak 30 tahun lalu hanya kerana dirinya tidak ambil kisah untuk memiliki lesen itu.

"Sehubungan itu kita menyediakan beberapa platform untuk memohon lesen memandu seperti Mylesen untuk pelajar sekolah yang berumur 16 tahun dan terbaru Satu Komuniti Satu JPJ serta 1Malaysia Sokongan Persaraan Perkhidmatan Awam (1Pesara) untuk mereka yang berusia dan tidak bekerja memperoleh lesen memandu," katanya.

Pada program yang berlangsung selama dua jam bermula jam 2.30 petang ke 4.30 petang hari ini, JPJ negeri memberikan pengurangan kompaun saman antara 10 hingga 50 peratus atas pelbagai kesalahan.

Sumber: MyMetro

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com