20 Lagi Anggota Geng Pak Su Didakwa


ALOR SETAR - Seramai 20 lagi anggota geng Pak Su yang mendalangi aktiviti penyeludupan di sekitar sempadan Malaysia-Thailand, di sini dihadapkan ke Mahkamah Sesyen atas pertuduhan menganggotai kumpulan jenayah terancang dari Januari 2015 hingga 11 September 2017, semalam.

Difahamkan, kesemua tertuduh dikawal ketat pasukan Petugas Khas Jenayah Terancang (STAFOC) mengangguk faham sewaktu pertuduhan dibacakan terhadap mereka oleh jurubahasa dan tiada pengakuan direkodkan dari 20 individu terbabit.

Seramai 16 individu iaitu Fairus Hafiz Mohd. Yusoff, 24, M. Murugan, 36, Rosli Ariffin, 40, Sariman Idris, 42, Mohd Norhizam Zamzuri, 29, Faizol Sobri Romli, 29, Amirul Ashraf Hussain, 20, Muhamad Ashraf Aziz, 23, Faizal Azlyshah Romli, 33, Aziz Othman, 56, Muhamad Asrun Amir Hussain, 23, Muhammad Luqman Hakim Zainal, 18, Nur Arif Norzaidi, 19, Muhamad Amir Daud, 22, Norhasrul Izwan Noraini, 33 dan Joni Yakub, 37, didakwa menganggotai kumpulan tersebut antara 1 Januari 2015 hingga 11 September lalu.

Manakala, empat yang lain iaitu Zamzuri Aziz, 22, Shamsol Long, 45, Muhammad Khairul Azhar Ghazali, 21, dan Mohamad Rozaidi Sabu, 26, dituduh menjadi anggota kumpulan itu bagi tempoh 1 Januari 2015 hingga 13 September 2017.

Semua tertuduh didakwa mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) dan Seksyen 130 (V) Kanun Keseksaan (Akta 574).

Jika disabit kesalahan mereka boleh dihukum mengikut seksyen sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Saiful Edris zainuddin dan Mohd Izhanudin Alias, manakala hanya seorang tertuduh sahaja iaitu Aziz diwakili peguam, G Ravi Shankar, manakala 19 yang lain tidak diwakili mana-mana peguam.

Hakim, Amernudin Ahmad tidak membenarkan semua tertuduh diikat jamin berikutan kes berkenaan termasuk dalam jadual pertama Akta SOSMA 2012 dan menetapkan sebutan semula pada 26 Oktober depan.

Pada 26 September lepas, empat anggota kumpulan tersebut termasuk ketuanya, Joharo Ariffin, 34, didakwa atas tuduhan sama. - Kedahnews.com



No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com