2 Tan Abu Al-Quran Dilupus


ROMPIN - Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) melupuskan dua tan abu al-Quran dan buku agama, berhampiran Pulau Sembilang, kira-kira 23 batu nautika dari Tanjung Gemok, dekat sini, semalam.

Kerja pelupusan dilakukan oleh 20 kakitangan JAIP dengan kerjasama Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Wilayah Timur yang menyediakan kapal KM Bagahak.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penyelidikan JAIP, Noridzuan Abdul Manan, berkata al-Quran dan buku agama yang sudah rosak serta lusuh dihantar oleh orang ramai ke pusat Pusat Pemuliaan al-Quran JAIP.

"Kita banyak menerima al-Quran rosak akibat banjir besar pada 2014. Bahan seberat 13 tan itu dibakar terlebih dulu secara berperingkat menggunakan relau dan proses itu bermula, pada November 2015 dengan kos RM38,000.

"JAIP dapat menjimatkan perbelanjaan sebanyak RM78,000 meenrusi proses pelupusan dilakukan sendiri dengan kerjasama agensi kerajaan lain.

"Sebelum ini, kos pelupusan yang dihantar kepada pihak luar adalah RM6,000 bagi setiap tan," katanya selepas proses melupuskan abu al-Quran, dekat sini, semalam.

Noridzuan berkata, pihaknya berterima kasih kepada APMM Wilayah Timur kerana membantu melancarkan proses melupuskan abu al-Quran mengikut hukum syarak.

"JAIP menjalankan kerjasama kali pertama dengan APMM dalam proses melupuskan abu itu. Kami sangat menghargainya," katanya.

Noridzuan berkata, al-Quran yang sudah usang dan reput tidak boleh dibuang begitu sahaja tanpa menggunakan kaedah betul bagi menjaga kehormatan ayat suci itu.

"Walaupun sudah koyak, lusuh dan buruk, namun ia tidak boleh dibuang begitu saja, kita menyarankan orang ramai menghantar ke Pusat Pemuliaan al-Quran JAIP untuk proses pelupusan yang sempurna," katanya.

Sementara itu, Ketua Pos APMM, Tanjung Gemok, Leftenan Madya Maritim Isaik Mahamad, berkata pihaknya mengalu-alukan kerjasama itu bagi melancarkan proses pelupusan terbabit.

"Kita berharap kerjasama ini dapat diteruskan pada masa depan bagi menjaga kemuliaan al-Quran," katanya.

Sumber: BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com