171,252 Kes Cerai Pasangan Islam


KUALA LUMPUR - Sebanyak 171,252 kes penceraian melibatkan pasangan Islam direkodkan dalam tempoh tidak sampai tiga tahun, sekali gus menunjukkan institusi kekeluargaan kini semakin rapuh dan berdepan cabaran yang perlu diatasi segera.

Pengarah Pusat Kajian Syariah, Undang-undang dan Politik (Syarak), Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Dr. Mohd Farid Mohd. Shahran berkata, pelbagai faktor dikenal pasti menjadi punca perceraian antaranya penyalahgunaan dadah, sikap boros dan berfoya-foya pasangan serta kes keganasan rumah tangga.

Katanya, statistik kes dicatat antara 2014 hingga Julai 2016 itu bukan saja membimbangkan malah memerlukan tindakan segera merangkumi kajian mendalam terhadap faktor pencetus penceraian dan langkah segera untuk menanganinya.

“Penyelesaian segera perlu diusahakan bagi memperbaiki semula kerapuhan institusi keluarga Islam dan mengukuhkan kembali konteks sosial masyarakat.

“Selain memberi kesedaran mengenai tanggungjawab berkeluarga, langkah pengukuhan institusi sosial berlandaskan Maqasid Al-Shariah perlu ditekankan iaitu matlamat perkahwinan, hukum dan tuntutannya dalam Islam. Usaha ini perlu dibuat bersungguh-sungguh agar struktur sosial masyarakat boleh diperkukuh kembali seterusnya akan memberi kesejahteraan kepada negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Muzakarah Pakar Pengukuhan Institusi Kekeluargaan Berlandaskan Maqasid Al-Shariah di IKIM di sini, semalam.

Sebanyak tujuh kertas kerja dibentangkan dalam seminar yang menampilkan pakar perundangan, ahli akademik dan panel IKIM.

Sumber: Utusan Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com