Wartawan Britain Maut Dibaham Buaya


COLOMBO- Seorang wartawan Britain maut selepas disambar buaya dan diheret ke dalam sungai ketika sedang bercuti di negara ini.

Tentera Laut Sri Lanka dalam satu kenyataan berkata, Paul McClean, 24, dari akhbar Financial Times di London sedang bercuti ketika melakukan aktiviti luncur ombak di Pantai Arugambay apabila kejadian itu berlaku, semalam.

"Pihak kami berjaya menemui mayat seorang pelancong asing yang maut disambar buaya, semalam," kata kenyataan itu.

Seorang saksi yang juga penduduk tempatan, dipetik BBC sebagai berkata, beliau mendengar mangsa menjerit meminta tolong ketika diheret masuk ke dalam sungai oleh haiwan berkenaan.

"Ketika kami sampai ke tempat kejadian, mangsa sudah tidak kelihatan lagi di situ kerana sudah dibawa masuk ke dalam air," kata pemilik pusat luncur ombak itu, Fawas Lafeer.

McClean, graduan kelas pertama jurusan Pengajian Bahasa Perancis daripada Universiti Oxford menyertai Financial Times dua tahun lalu dan berkhidmat di bahagian berita terkini.

Pengarang Pengurusan FT, James Lamont menggambarkan McClean sebagai wartawan muda yang berbakat, bertenaga dan berdedikasi serta mempunyai masa depan cerah di akhbar berkenaan. - Reuters


No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com