Waris Risau Kubur Mendap



BUKIT BERUNTUNG - Lebih 10 kubur di Tanah Perkuburan Islam Bukit Beruntung, di sini, mengalami mendapan sejak beberapa minggu lalu sehingga menimbulkan kebimbangan dalam kalangan waris keluarga dan penduduk setempat.

Lebih teruk apabila ada yang menenggelamkan batu nisan menyebabkan binaan hiasan kubur retak.

Keadaan itu dipercayai akibat kekerapan hujan sejak kebelakangan ini yang memaksa waris membuat alur bagi mengalirkan air yang bertakung di permukaan kubur.

Seorang waris, Muzanariah Mubet, 49, berkata, kubur arwah suaminya mendap dan permukaan kubur yang diletakkan dengan batu runtuh.

“Suami saya meninggal Julai lalu dan batu hiasan itu baru saja sebulan dibina, tetapi sudah runtuh.

“Saya dan anak-anak terpaksa pergi membuat longkang dan menambaknya semula dengan tanah,” katanya.

Bagi Mohd Irfan Shuhaimi, 24, dia juga pergi ke tanah perkuburan itu setiap minggu untuk menimbus kubur arwah ibu mentuanya yang mendap sejak tiga minggu lalu.

“Setiap kali datang, memang ada sedikit mendapan dan saya akan tambak semula.

“Walaupun mendapan tanah ini tidak seberapa teruk, sebagai waris kita perlu sentiasa datang melihat keadaan kubur,” katanya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batang Kali, Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahalan menggesa pihak berkuasa tempatan (PBT) dan agensi berkaitan memantau dan menyelia kawasan berkenaan.

“Longkang yang lebih baik perlu dibuat supaya air mengalir dan keluar dari tanah serta tidak meresap.

“Keadaan tebing di kawasan tanah perkuburan itu juga perlu dipantau bagi mengelak hakisan dan tebing runtuh,” katanya yang turut hadir meninjau kawasan berkenaan.

Sumber: MyMetro

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com