Warga Emas Dari Perak Berusia 100 Tahun Tak Sentuh Ais, Makan Sayur Setiap Hari


IPOH - Mengamalkan makan sayur terutama bayam sebagai makanan rutin setiap hari menjadi rahsia lelaki warga emas kekal sihat dan bertenaga walaupun berusia 100 tahun.

Kiew Woon Siew berkata, dia gemar makanan semulajadi seperti sayuran serta buah-buahan dan sebolehnya mengelak makanan yang mengandungi bahan perisa.

Katanya, dia juga mengamalkan bangun awal iaitu jam 4 pagi dan minum air masak serta langsung tidak minum ais sepanjang hayatnya.

“Saya minum air masak selepas bangun pagi sebelum mandi dan bersenam serta mencabut rumput di halaman rumah untuk mengeluarkan peluh,” katanya.

Woon Siew ditemui selepas menerima MyKad baru yang diserahkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manjoi, Mohamad Ziad Mohamed Zainal Abidin sempena Program Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Walkabout di kediamannya di Kuala Kuang, di sini, semalam.

Dia yang kehilangan isteri 50 tahun lalu, gembira dan teruja menerima kad pengenalan baru tambahan pula tidak ramai yang mampu mencecah umur sepertinya.

Woon Siew yang pada usia muda bekerja sebagai penjual durian memiliki 13 anak berusia 60 hingga 78 tahun dan 40 cucu.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Perak, Zulazlan Abu Hassan berkata, program itu bermula sejak 8 Ogos lalu dan JPN sentiasa mengadakan program bagi menyelesaikan masalah berkenaan sijil kelahiran dan MyKad.

Sumber: MyMetro

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com