Usahlah Terus Cemuh, Hukum Haziq: Jamsari


KUALA LUMPUR- Bekas penjaga gol Selangor dan skuad Olimpik 2000, Jamsari Sabian meminta semua pihak tidak terus menghukum Haziq Nadzli di atas kesilapannya menghadiahkan kemenangan 0-1 kepada Thailand pada aksi final Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) .

Katanya, cemuhan demi cemuhan dilontarkan segelintir peminat kepada penjaga gol muda itu boleh 'membunuh' semangat pemain itu yang ketika ini amat memerlukan sokongan dari semua pihak.

"Sebagai bekas pemain, saya faham benar apa yang dirasai Haziq sekarang. Ramai penyokong akan bercakap mengenai kesilapannya itu, ada yang bercakap dari sudut positif dan ada juga yang negatif.

"Apapun dia kena kuat dan tabah menerima segala cakap-cakap orang luar. Memang pahit tapi apa boleh buat.

"Cuma saya harap janganlah kita (penyokong) menghentam dia hingga menjatuhkan semangatnya. Dia muda lagi, mungkin dari kesilapannya itu akan mematangkan lagi persembahan dia selepas ini.

"Lebih baik kita bagi dia semangat untuk jadi lebih baik dan terus berjaya mengekalkan posisinya selaku penjaga gol kebangsaan," katanya yang pernah merasai nikmat menjuarai Piala Malaysia bersama Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MPPJ) pada musim 2003.

Jamsari berkata kesilapan Haziq, 20, yang tertumbuk bola ke gawang sendiri ketika mengeluarkan bola sepakan sudut pada minit ke-39 boleh terjadi kepada mana-mana pemain.

"Bermain dalam perlawanan akhir suasananya berbeza dengan perlawanan biasa. Saya pernah main dalam tiga suasana final Piala Malaysia iaitu pada 2003, 2005 dan 2007.

"Ketika itu final berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil yang boleh memuatkan hampir 100,000 penyokong. Tekanan sudah pastinya dirasai dengan penyokong mengharapkan kemenangan.

"Tak ada pemain pun ingin buat kesalahan, tetapi dalam aksi final segala-galanya boleh berubah.

"Justeru itu, Haziq juga tidak terkecuali apabila bacaannya untuk menumbuk keluar bola sepakan sudut pemain Thailand itu tidak tepat. Saya harap dia belajar sesuatu dari kesilapannya itu," katanya.

 Sumber: BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com