Udang Kara Sumber Rezeki Penduduk Pulau Mantanani


KOTA KINABALU - Hidupan laut seperti lobster atau udang kara, selain abalon dan ketam menjadi punca rezeki sebilangan penduduk Pulau Mantanani yang menjual hidangan dianggap mewah itu kepada pelancongan yang bercuti di pulau peranginan terkemuka itu.

Kebiasaannya, penduduk yang sebahagian besarnya bekerja sebagai nelayan membawa hasil tangkapan ke resort di pulau terletak kira-kira 45 perjalanan dengan bot laju dari tanah besar Kota Belud, untuk dijual kepada pelancong.

Penduduk Kampung Padang, Rommy Aziz, 40, berkata dia dibantu adiknya, Azmah, 37, bergerak dari satu resort ke resort lain di sekitar pulau itu dengan membawa bersama jualan mereka yang disimpan dalam bekas khas, antaranya lobster, abalon, ketam dan ikan.

"Hampir setiap hari ada saja pelancong yang membeli hasil tangkapan mereka terutama dari China. Abalon dan lobster adalah antara hasil tangkapan yang menjadi pilihan pelancong dengan ada yang membawanya balik ke Kota Kinabalu atau ada juga meminta kami masak di pulau ini.

"Kami juga bersyukur kerana kebanyakan resort di pulau ini membenarkan kami menjual hasil tangkapan laut di resort mereka.

"Sekurang-kurangnya kewujudan resort di pulau ini bukan saja memberi peluang pekerjaan kepada penduduk, malah membenarkan juga kami menjual hasil tangkapan laut," katanya kepada BH.

Selain Rommy dan Azmah, ada beberapa lagi penduduk menjual hasil tangkapan laut mereka ke resort sekitar pulau berkenaan.

Difahamkan, kira-kira 15 resort beroperasi di pulau itu sejak lebih 10 tahun lalu dengan kebanyakan penduduk khususnya belia dan lepasan sekolah bekerja di resort berkenaan.

Mengulas lanjut, Rommy berkata, hasil tangkapan hanya dijual di resort dan jika ada lebihan yang banyak ia akan dibawa untuk dijual di Pekan Kota Belud.

"Bagaimanapun, keutamaan di sini kerana ramai pelancong terutama dari China. Biasanya, abalon kami jual RM30 sekilogram, manakala lobster antara RM200 hingga RM400 mengikut saiz.

"Lazimnya, kami mencari abalon mulai jam 12 tengah malam hingga 2 pagi kerana ketika itu hidupan laut terbabit banyak keluar dengan melekat di terumbu karang," katanya sambil menambah pendapatannya itu mampu menyara isteri dan lima anak berusia 10 hingga 20 tahun.

Sumber: BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com