Trump Puji Kanak-Kanak Potong Rumput Di Rumah Putih


WASHINGTON- Seorang kanak-kanak lelaki diberikan ucapan tahniah dan syabas daripada Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump kerana memotong rumput di Rumah Putih, semalam.

Pada awal tahun lalu, Frank Giaccio, 11, yang berasal dari Falls Church, Virginia, sebelum ini menulis surat kepada presiden bagi memaklumkan bahawa beliau mempunyai perniagaan memotong rumput.

Dalam surat itu, Giaccio turut menyatakan rasa bangga jika beliau diberi peluang untuk memotong rumput di Rumah Putih.

Rumah Putih menyambut baik tawaran Giaccio dan beliau dijemput untuk memotong rumput di Rose Garden, semalam dengan dipantau rapi pekerja perkhidmatan taman yang berpakaian biasa.

Dengan memakai pelindung mata, baju berwarna merah, seluar khaki, kasut berwarna hitam dan sarung tangan, Giaccio memulakan tugas di Rose Garden mulai jam 9.30 pagi (waktu tempatan).

Trump yang muncul kira-kira 10 minit kemudian, memberikan ucapan syabas kepada Giaccio dan memaklumkan bahawa beliau melakukan tugasnya dengan baik.

Sementara itu, ketika ditemubual rangkaian Fox Business sebelum menuju ke Rumah Putih, Giaccio berkata: "Hari ini (Jumaat) adalah hari yang paling indah dalam hidup saya". - AFP

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com