Tragedi Tahfiz: Derma Kilat PPKN Kumpul RM70,000


PETALING JAYA - Tragedi kebakaran yang meragut 23 nyawa di pusat tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah Kampung Datuk Keramat mendorong pelbagai pihak sama ada individu atau pertubuhan untuk tampil menghulurkan sumbangan bagi membantu meringankan beban yang ditanggung waris mangsa.

Antara yang terpanggil untuk menyumbang adalah Persatuan Pengusaha Kem Latihan Khidmat Negara (PPKN) dan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik).

Presiden PPKN, Datuk Seri Ahmad Kamel Ibrahim berkata, sumbangan yang diserahkan memang tidak dapat menggantikan kehilangan anak, suami atau bapa tersayang, namun ia dibuat atas dasar prihatin terhadap tragedi malang yang terpaksa dihadapi mereka.

Katanya, sumbangan yang berjumlah RM70,000 itu adalah derma kilat yang dikumpul dalam kalangan pengusaha PPKN dalam tempoh 24 jam sebaik mengetahui mengenai tragedi malang tersebut.

"Derma kilat ini dihebahkan melalui aplikasi Whatsapp kepada seramai 82 syarikat pengusaha PPKN dan berharap ia sedikit sebanyak dapat meringankan beban keluarga mangsa," katanya ketika dihubungi mStar Online.


Sumbangan tersebut diserahkan Ahmad Kamel kepada pengetua pusat tahfiz berkenaan,  Muhammad Zahid Mahmod pada Jumaat.

Sementara itu, memetik laporan Sinar Harian, Maik turut menyalurkan sumbangan RM1,000 bagi membantu meringankan keluarga warden yang terkorban dalam kebakaran tersebut.

Sumbangan itu atas titah Pemangku Sultan Kelantan, Tengku Dr Muhammad Fa-iz Petra yang juga Yang Dipertua Maik.

Penyerahan sumbangan wang tersebut disampaikan oleh Timbalan Yang Dipertua Maik, Dr Nik Azlan Abd Hadi.

Nik Azlan berkata, takziah kepada keluarga yang menerima musibah dan MAIK akan membantu khususnya rakyat Kelantan.

"Maik diperingkat pemantauan, sekiranya pihak keluarga yang ada lagi masalah boleh berhubung dengan MAIK dan pihaknya sedia membantu," katanya.

Insiden yang berlaku di bangunan tiga tingkat itu meragut nyawa Mohd Amrul Nizam Sakarno, 26, 22 pelajar dan seorang lagi guru di pusat tahfiz terbabit.

Penyerahan sumbangan itu disampaikan kepada isteri allahyarham, Noor Fatihah Osman, 23, di kediamannya di Kampung Tujoh, Sabtu.

Sumber: Mstar Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com