Tiga Murid Jadi Bilal


PASIR MAS - Biarpun usianya baru menginjak 12 tahun, namun kemampuan Muhammad Mukhlis Che Musa mengalunkan azan cukup mengagumkan jemaah di surau Haji Yusuf Kampung Gabus di sini.

Jadi tidak hairanlah murid tahun enam Sekolah Kebangsaan Bukit Jarum (SKBJ) itu dilantik sebagai bilal tetap untuk mengalunkan azan di surau berkenaan selepas waktu sekolah.

Muhammad Mukhlis berkata, peluang berbuat demikian merupakan satu pengiktirafan yang cukup besar buat dirinya.

“Saya tahu ia bukan tugas mudah. Namun saya akan berusaha sebaik mungkin.

“Pada mulanya, saya memang takut nak terima tanggungjawab itu. Namun selepas mendapat sokongan ibu bapa dan guru, saya makin bersemangat,” katanya.

Menurutnya, peluang melaungkan azan itu membuka peluang kepadanya untuk membuktikan kemampuan diri.

Katanya, dia amat gembira dapat berbuat demikian kerana itu merupakan salah satu sumbangan untuk masyarakat.

Selain Muhammad Mukhlis, dua lagi murid SKBJ yang diberikan kepercayaan untuk mengalunkan azan ialah Muhammad Rafiq Muhammad, 10, dan Muhammad Faqih Fahmin Mohd, 10.

Muhammad Rafiq bertugas sebagai bilal di surau Kampung Kolam manakala Muhammad Faqih di surau Al-Hidayah Kampung Bujuk.

Apa yang membanggakan, ketiga-tiga murid yang bertugas di surau berkenaan mendapat pengiktirafan daripada pengerusi Jawatankuasa Kemajuan, Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) mukim masing-masing. 

Sumber: Sinar Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com