Tidak Pernah Sekali Pun Tuanku Lewat Berangkat Ke Majlis


ALOR SETAR – Almarhum Sultan Kedah terkenal dengan sifatnya yang sangat menepati masa dan menjaga adab berpakaian walaupun ketika baginda sedang gering, kata Setiausaha Sulit Almarhum Sultan Kedah Datuk Elmi Yusoff.

“Tuanku seorang yang sangat menepati masa…tidak pernah sekali pun tuanku lewat berangkat ke satu-satu majlis…malah paling saya ingati walaupun ketika tuanku gering, tuanku tetap akan memenuhi tetamu yang datang menghadapnya.

”Malah lebih dari itu, tuanku sangat menjaga adab berpakaian dan amat suka memakai pakaian yang kemas walaupun ketika berada dalam keadaan gering,” kata Elmi kepada Bernama dan menambah beliau telah berkhidmat bersama Almarhum Tuanku selama 15 tahun.

Elmi, yang mula bekerja sebagai Penolong Setiausaha Sulit Kedah pada tahun 2002, dilantik sebagai Setiausaha Sulit Sultan Kedah tiga tahun kemudian sebelum menjadi Setiausaha Sulit Yang di-Pertuan Agong ketika Almarhum Sultan Kedah diangkat menjadi pemerintah negara buat kali kedua.

Disebabkan sifat berjiwa rakyat dan penyayang yang ada pada Almarhum baginda, rakyat Kedah seolah-olah berasa kosong apabila Almarhum Sultan berangkat ke Istana Negara selepas ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong buat kali kedua, katanya.

“Hubungan tuanku dengan kakitangan istana juga amat rapat dan kesemua mereka menyayangi tuanku…mereka merasakan sesuatu yang kurang dan hilang apabila Almarhum baginda tiada di Istana Anak Bukit dan ramai yang menangis ketika Almarhum baginda berangkat untuk bersemayam di Istana Negara,” katanya.

Almarhum Sultan Kedah mangkat di Istana Anak Bukit semalam pada pukul 2.30 petang kelmarin.

Jenazah Almarhum baginda selamat dimakamkan di Makam Diraja Langgar semalam setelah disemayamkan di Dewan Penghadapan, Istana Anak Bukit. – BERNAMA

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com