Tiada Rancangan Sertai Semula Raihan


KOTA KINABALU - Mengaku masih berkawan, Nazrey Johani iaitu bekas vokalis utama Raihan, tidak terfikir menyertai semula kumpulan nasyid popular itu.

Nazrey, 45, memberitahu, masanya banyak dihabiskan untuk kegiatan dakwah.

Malah, ketika ini, dia sibuk menyiapkan projek membina madrasah kedua, Maahad Al-Tahfiz Bayu Syahadah di Batu 2, Jalan Lombong Tembaga Mamut, dekat pekan Ranau.

"Kami masih berkawan dan saya selalu berjumpa mereka (anggota kumpulan Raihan). Tetapi kalau bergabung (sertai semula Raihan), tidaklah.

"Tiada rancangan seumpama itu kerana saya sibuk dengan aktiviti dakwah di Ranau," katanya kepada BH Online.

Kira-kira 10 tahun lalu, Nazrey mengejutkan peminat nasyid apabila membuat keputusan meninggalkan Raihan bagi menumpukan perhatian terhadap kerja dakwah.

Pada 1997, Raihan mencatat jualan album tertinggi di Malaysia apabila kira-kira 700,000 unit album sulung yang berjudul Puji-Pujian, habis terjual. Ketika itu, Nazrey menjadi vokalis utama kumpulan berkenaan.

Nazrey berkata, selepas projek Maahad Al-Tahfiz Bayu Syahadah di Kampung Bitoon, siap tahun lalu, dia sibuk dengan projek membina madrasah kedua.

"Masa saya banyak dihabiskan di Ranau dan sukar untuk saya menerima komitmen di luar kawasan," katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai khabar angin dirinya bakal mengadakan konsert solo di Kuala Lumpur pada 28 Oktober depan, Nazrey berkata:

"Semuanya diuruskan rakan termasuk soal promosi. Kalau orang tanya saya mengenai konsert yang dikatakan ada dikongsi di Facebook, saya hanya jawab tidak tahu... Ini kerana semuanya diuruskan rakan.

"Saya sedang menunggu perkembangan sama ada konsert itu jadi atau sebaliknya. Setakat ini, saya difahamkan ia masih dalam perancangan, belum pasti lagi.

"Saya juga tidak tahu siapa penyanyi undangan dalam konsert terbabit," katanya.

Sumber: BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com