“Tiada Maaf! Kerana Watie Saya Tak Jumpa Anak” - Hana Elite


PENGISYTIHARAN muflis akibat perbuatan sahabat sendiri antara perkara yang menjadi kemarahan Hana selepas dia gagal berjumpa anak-anaknya akibat disekat keluar negara.

Hana ketika dihubungi mStar Online berkata, dia sudah dua tahun tidak bertemu dua anaknya iaitu Aaron Danial Mann, 16, dan Alayna Daniella Mann, 15, yang kini menetap di London.

"Kejadian itu bukan sahaja menyebabkan saya diisytiharkan muflis tetapi banyak masalah lain terpaksa saya tanggung!

"Banyak benda saya hilang dan paling buat saya sedih, sudah dua tahun saya tidak bertemu anak-anak kerana tidak boleh ke luar negara.

"Bayangkan perasaan saya sebagai seorang ibu yang tak dapat bertemu dengan anak-anak kerana kesalahan orang lain," katanya kepadanya mStar Online.

Watie Sadali Tak Mampu Bayar RM707,000

Hana diiystihar muflis selepas rakannya dalam kumpulan Elite iaitu Watie atau Norwati Sadali tidak membayar ansuran bulanan kereta yang dibeli menggunakan nama Hana.


Pada Jumaat lalu, Watie, 41, hadir ke Mahkamah Sesyen Selayang dan memohon agar jumlah tuntutan dibuat Hana yang kini berjumlah RM707,351.83 dikurangkan kerana dia tidak mampu melunaskan jumlah diminta.

Mahkamah bagaimanapun menetapkan 11 Oktober depan untuk perbicaraan saman penghutang penghakiman membabitkan kedua-dua bekas anggota Elite itu.

Dalam pada itu, Hana berkata, tuntutan asal yang dibuatnya dua tahun lalu dianggarkan sekitar RM300,000 sahaja namun jumlah itu meningkat selepas ditafsirkan termasuk kadar faedah selepas dia memfailkan saman penghutang penghakiman pada 18 Mei lalu.

Kata Hana, Watie mengetahui mengenai jumlah asal tersebut namun dia berdegil untuk tidak membayar yang membuatkan dia perlu menanggung akibatnya.

"Jika dia kata tidak tahu, ia tidak benar kerana bekas peguam saya ketika itu, SS Seelan sudah menyerahkan surat itu ke tangannya sendiri malah mereka berbincang kaedah untuk membayar ganti rugi itu.

"Tapi nampaknya Watie terus berdiam diri dan enggan menyelesaikan tuntutan yang sebelum ini hanya berjumlah lebih kurang RM300,000 sahaja.

"Atas kedegilannya untuk membayar dan jadilah jumlah itu mencapai RM700,000 kerana faedah dikenakan selama tempoh dua tahun," jelasnya.

Dalam pada itu, Hana berkata, ruang untuk mereka berbincang juga sudah tertutup kerana Watie pernah diberi peluang berbuat demikian namun mensia-siakannya.

"Saya sudah serik! Tiada lagi peluang untuknya dan biarlah mahkamah sahaja yang putuskan," katanya.

Pada 10 Mac 2015, Hana atau Norhanasafiza Mat Adnan, 39, memenangi saman terhadap Watie berhubung kegagalan penyanyi itu menyelesaikan bayaran pinjaman bank yang menggunakan namanya untuk membeli sebuah kenderaan jenis Toyota Wish.

Menurut penyata tuntutan itu, Hana mendakwa dirinya membuat pinjaman bank kenderaan itu sekitar September 2005 bagi pihak Watie sebanyak RM150,000 kerana pelakon terbabit tidak layak membuat pinjaman.

Namun, Watie gagal mematuhi syarat ditetapkan seperti membayar ansuran bulanan, cukai jalan, insurans dan perkara berkaitan sejak September 2010 sehingga menyebabkan Hana diisytiharkan muflis.

Sumber: Mstar Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com