TH Rekod 39 Jemaah Haji Malaysia Meninggal Dunia Di Makkah


TUMPAT - Lembaga Tabung Haji (TH) merekodkan 39 jemaah haji meninggal dunia di Makkah sehingga semalam.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, jumlah itu termasuk seorang jemaah haji meninggal dunia sebelum berlepas ke Makkah.

“TH mengambil tanggungjawab menguruskan haji mereka. Bagi yang meninggal dunia sebelum sempat melaksanakan haji, TH melakukan badal haji bagi menyempurnakan ibadah haji jemaah.

“Pada masa sama TH turut menyampaikan sumbangan Takaful Khairat Kematian, air zam-zam dan kurma kepada waris bagi meringankan beban dan mengubat kesedihan keluarga ekoran kematian suami dan bapa mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan sumbangan wang khairat kematian kepada waris jemaah haji, Wan Mohd Zamri Wan Zakaria, 54, yang meninggal dunia di Makkah pada 5 September lalu, di Kampung Ketil, Pengkalan Kubor, di sini, semalam.

Sumbangan diterima isteri arwah, Ramlah Harun, 50.

Asyraf Wajdi berkata, Wan Zamri meninggal dunia di Hospital Raja Abdul Aziz, Makkah pada 12 tengah hari akibat jangkitan kuman di paru-paru selepas melontar jamrah di Mina.

“Kami bersimpati kepada keluarga arwah dan berharap pihak keluarga diberikan kekuatan dan kesabaran dalam menghadapi ujian ini.

“Arwah sebenarnya beruntung kerana meninggal dunia di Makkah, yang menjadi idaman setiap umat Islam di seluruh dunia,” katanya.

Sementara itu, isteri arwah, Ramlah bersyukur dengan sumbangan yang disampaikan TH.

“Saya reda dengan pemergian arwah dan berharap ibadah yang dilakukan diterima Allah,” katanya.

Harian Metro sebelum ini melaporkan, Wan Mohd Zamri meninggal dunia di Hospital Raja Abdul Aziz, Makkah, 12 tengah hari waktu Malaysia.

Wan Mohd Zamri meninggal dunia akibat jangkitan kuman di paru-paru meninggal seorang isteri dan lapan anak menunaikan haji di bawah Program Khas Haji Perdana Menteri yang ditaja Yayasan 1Malaysia Development Berhad.

Jenazahnya disemadikan di Tanah Perkuburan Syarai’e Makkah pada jam 9.04 malam waktu Malaysia.

Sumber: MyMetro

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com