Terengganu Paling Ramai Genius


KUALA LUMPUR - Terengganu menjadi negeri paling ramai mempunyai pelajar genius malah rekod kecemerlangan itu dilihat konsisten untuk beberapa tahun sejak ujian penentuan indeks genius dijalankan.

Bagi tahun 2017, seramai 55,035 pelajar menduduki ujian penentu indeks genius peringkat satu yang dikenali sebagai Ujian Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) 1.

Daripada jumlah itu seramai 1,128 orang atau 12 peratus pula berjaya ke ujian peringkat kedua yang dikenali sebagai Ujian UKM 2.

Menurut Pengarah Pusat PERMATApintar Negara, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datuk Dr Noriah Mohd Ishak, pihaknya mengumpul data pelajar berkenaan termasuk struktur demografi dan latar belakang keluarga mereka bagi menjalankan satu kajian khusus.

“Sudah beberapa tahun negeri itu mendominasi statistik pelajar genius paling ramai dan ia konsisten bagi tiga tahun kebelakangan ini termasuk pengambilan pada tahun ini.

“Rata-rata pakar dan pensyarah membuat andaian, amalan pemakanan mereka yang memakan ikan segar dikatakan faktor utama selain daripada genetik dan persekitaran,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, buat masa ini tiada lagi kajian yang menyokong pelajar negeri itu genius disebabkan faktor pemakanan iaitu ikan laut yang segar dan mengandungi protein untuk perkembangan otak.

“Namun berdasarkan rekod yang kami terima jelas menunjukkan pelajar negeri itu paling ramai mengambil ujian UKM dan berjaya melepasi setiap peringkat,” katanya.

Katanya, pihaknya tertarik dengan rekod diterima kerana ia faktor persekitaran tempatan selain membabitkan anak Malaysia.

Dr Noriah berkata, tempat kedua diikuti negeri Perak iaitu seramai 47,926 orang berjaya ke Ujian UKM 1 manakala 1,120 orang menduduki Ujian UKM 2.

Katanya, tempat ketiga disusuli Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dengan jumlah 30,730 orang pelajar genius.

Sumber: MyMetro

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com