Tayar Kereta Dicuri Dalam Kawasan Parking Hospital Tuanku Fauziah Perlis


KANGAR - Orang ramai yang melawat waris dan rakan yang mendapat rawatan di Hospital Tuanku Fauziah (HTF), dinasihatkan berhati-hati ketika memakir kenderaan di kawasan luar hospital khususnya di tempat sunyi dan jauh dari pandangan umum bagi mengelak kecurian.

Ia susulan kejadian sebuah kereta milik seorang wanita mengalami kecurian empat tayar ketika meletak kenderaannya berhampiran hospital itu, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Kangar Superintendan Wari Kiew berkata, pihaknya menerima laporan daripada mangsa yang juga pesara berhubung kecurian itu pada jam 1 tengah hari.

“Mengikut laporan itu, pesara terbabit memakir kenderaan Kia Rio di kawasan tangki air bersebelahan HTF sekitar jam 11 malam pada 5 September lalu.

“Wanita itu dikatakan bermalam di HTF atas tujuan melawat dan menjaga pesakit di hospital berkenaan,” katanya ketika dihubungi, kelmarin.

Wari berkata, wanita terbabit hanya menyedari empat tayar keretanya hilang pada keesokan harinya pada jam 1 tengah hari.

“Anggaran kerugian RM1,000 memandangkan keempat-empat tayar berserta rim hilang.

“Polis masih menjalankan siasatan sama ada kecurian tayar kenderaan itu dijalankan oleh kumpulan tertentu atau terdapat unsur khianat memandangkan ini kejadian pertama dilaporkan sejak awal tahun ini,” katanya.

Beliau berkata, sehubungan itu, polis menasihati orang awam agar memakir kenderaan mereka di kawasan yang senang dilihat dan berdekatan pengawal keselamatan sekiranya mahu bermalam di HTF.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan atas kesalahan mencuri dan Seksyen 345 Kanun Keseksaan kerana terdapat unsur khianat.

Sumber: MyMetro

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com