Tanah Runtuh: Lapan Keluarga Di Gurun Kosongkan Rumah


GURUN -Sebanyak lapan keluarga terpaksa mengosongkan rumah masing-masing di Taman Permai Utama dekat sini apabila berlaku runtuhan tanah di belakang rumah mereka.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Mohamad Mustakim Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu kira-kira pukul 2.55 petang dengan jentera pertama tiba di lokasi, 3.10 petang.

“Setibanya di lokasi, kami dapati berlaku tanah runtuh di tebing bukit yang dianggarkan mempunyai ketinggian 30 meter.

“Didapati berlaku mendapan tanah di jalan belakang tiga buah rumah di situ. Namun kami meminta supaya lapan buah rumah di situ dikosongkan atas faktor keselamatan," katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Beliau menambah ketika ini pihak pemaju perumahan mengambil inisiatif untuk menempatkan keluarga terlibat di kawasan lain.

“Setakat ini kami mengambil langkah untuk memasang sawar-sawar di kawasan terlibat. Pemantauan akan terus dilakukan dan punca kejadian masih disiasat,” ujarnya.

Difahamkan kejadian berlaku akibat hujan lebat selama beberapa jam sejak malam kelmarin.

Sumber: Utusan Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com