Sungai Sejuta Sampah Di Tanah Abang Indonesia


JAKARTA - INDONESIA. Siapa yang tidak kenal dengan Tanah Abang. Kawasan yang dikatakan ‘syurga’ membeli-belah bagi kebanyakan ramai orang, termasuk rakyat Malaysia.

Sememangnya kawasan itu padat dengan manusia hingga membawa kepada kesesakan lalu lintas kerana kebanyakan penduduk menjalankan aktiviti di sekitar jalan tersebut.

Tidak jauh dari kawasan Pasar Kambing di Jalan Sabeni, Tanah Abang ini, dihidangkan dengan pemandangan kurang ‘enak’ di mana sampah berlonggok hampir memenuhi seluruh sungai.

Memetik laporan Kompas.com yang cuba menyusuri jalan sempit di sepanjang kawasan itu, mendapati bau busuk dari sungai memberikan rasa tidak selesa bagi sesiapa yang melaluinya.

Longgokan sampah juga didapati di bahagian bawah tangga kecil yang terletak di penghujung jambatan.

Inilah kawasan tempat tinggal penduduk setempat. Bayangkan, kawasan dapur menjadi seperti tandas awam dengan sungai yang dilimpahi sampah busuk.

Ratusan atau mungkin ribuan objek plastik pelbagai warna, bentuk dan.saiz timbul serta mencacatkan pemandangan di situ.

Sampah-sampah yang dikumpulkan oleh pembersih sungai hanya dikumpulkan di tebing.

Melihatkan aktiviti penduduk di situ, sebilangan wanita memasak dengan menghadap ke sungai semasa terlibat dalam perbualan dengan sanak saudara mereka.

Kelihatan sudah biasa di situ, mungkin mata dan hidung mereka sudah sebati dengan apa yang dilihat dan dihidu.

Kanak-kanak kecil berlari-lari di tepi sungai dan adakalanya mencelupkan kaki mereka ke dalam air yang keruh.

Sumber: Sinar Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com