Suku Akhir Piala Malaysia: Lang Merah Sedia Bertemu Red Giants


ALOR SETAR - Juara bertahan, Kedah, sudah bersedia untuk berdepan dengan gergasi merah yang juga Juara Piala Malaysia 33 kali, Selangor pada perlawanan suku akhir Piala Malaysia 2017.

Mengakui saingan pasti lebih hebat selepas ini, Ketua Jurulatih Kedah Mohd Nidzam Adzha Yusoff  berkata pasukannya akan cuba melangkah ke peringkat seterusnya dengan kemenangan bergaya walaupun terpaksa bertemu dengan pasukan yang digeruni.

"Untuk prestasi malam ini, kita lebih fokus kepada empat pemain import kerana lebih sebulan mereka tidak bermain dan kita lihat mereka bersedia untuk bermain di peringkat suku akhir dan digandingkan semula dengan pemain kebangsaan," katanya kepada pemberita di sini malam Sabtu.

Perlawanan Piala Malaysia Kedah menentang Kelantan malam tadi yang berkesudahan 2-0 menyaksikan Kedah, yang sudahpun mengesahkan slot ke suku akhir, bertemu dengan naib juara Kumpulan D iaitu Selangor.

Perlawanan itu menyaksikan pemain-pemain muda diberi peluang beraksi seperti Syafiq Ahmad, Amirul Hisyam Awang Kecik, Mohamad Arif Farhan Md Isa dan Mohd Ifwat Akmal Che Kassim.

Tujuh pemain yang mewakili Harimau Malaya pula diberi peluang untuk berehat setelah mengambil kira beberapa perlawanan besar yang disertai mereka sebelum ini bagi membantu skuad kebangsaan.

Menyentuh mengenai peluang untuk pemain muda mencuri slot kesebelasan utama pada perlawanan suku akhir itu nanti, Mohd Nidzam berkata mereka perlukan lebih masa dan perlawanan untuk menggalas tugas di peringkat lebih tinggi.

"Tahniah kepada pemain baru diturunkan malam ini kerana mampu menggalas tugas tanpa bolos harap momentum kemenangan ini boleh dibawa ke peringkat seterusnya," katanya.

Mengenai kecederaan Muhammad Syazwan Tajudin dan Muhammad Hanif Mat Dzahir dalam perlawanan malam Sabtu, beliau berkata kecederaan itu tidak serius dan menambah, ramai lagi pemain lain yang boleh berada di posisi tersebut selain pemain kebangsaan yang akan turun bermain semula. - BERNAMA

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com