Sukan SEA: Satu Kes Doping Dikesan


DUA hari selepas Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 melabuhkan tirai, Pengerusi Jawatankuasa Perubatan dan Anti-Doping Persekutuan Sukan SEA (SEAGF), Datuk Dr S.S. Cheema, mengesahkan wujud satu kes positif doping membabitkan pemenang pingat temasya berkenaan.

Jawatankuasa Perubatan dan Anti-Doping SEAGF sudah menerima satu pertiga daripada jumlah sampel ujian yang dihantar ke makmal di New Delhi, India, namun Cheema enggan menamakan negara itu.

Pihaknya perlu mengikut prosedur, iaitu menghubungi majlis Olimpik negara terbabit untuk menawarkan pilihan menjalani ujian sampel B atau mengakui kesalahan.

"Kami perlu memberi peluang kepada atlet.

"Kami perlu mendapatkannya dan mendengar rayuannya, ini akan mengambil masa.

"Yang mustahak, kami perlu segera mendapatkan atlet terbabit dengan sokongan majlis Olimpik negaranya, maka kami boleh menyelesaikannya secepat mungkin," katanya.

Agensi Anti-Doping Malaysia (ADAMAS) menjalankan 836 ujian, terutama membabitkan pemenang pingat.

Daripada jumlah itu, 32 sukan berprofil tinggi diarah menjalani ujian sampel darah.

Jawatankuasa Perubatan dan Anti-Doping Sukan SEA dijangka menerima semua keputusan sampel pada 15 September ini.

Ditanya mengenai kes itu membabitkan atlet negara, Cheema berkata: "Kami boleh mengambil langkah berhati-hati dengan atlet negara.

"Sebaik mereka menyertai kem negara, kami akan melakukan ujian anti-doping ke atas mereka.

"Sepatutnya atlet sudah faham, mereka tidak boleh lari ke mana-mana kerana pasti akan tertangkap juga.

"Ada kes yang menyaksikan medal atlet Sukan Olimpik pernah ditarik balik walaupun sudah 10 tahun kejohanan itu berlalu.

"Saya berharap penganjuran Sukan SEA kali ini bebas kes doping."

Sumber: Astro Awani

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com