Skuad Bola Jaring Negara Pertama Di Dunia Rasmi Bertudung, Tanpa Skirt - Suraya


ALOR SETAR - Di sebalik kemenangan puteri-puteri bola jaring negara pada temasya Sukan SEA KL2017 yang lalu, tidak ramai yang menyedari tentang pemakaian skuad kebangsaan yang berjaya menarik perhatian rakyat itu.

Umumnya masyarakat sedia arif bahawa jersi yang kebiasaannya bagi mana-mana pasukan bola jaring adalah skirt mini dan tidak dibenar memakai tudung ketika beraksi di padang, khususnya di pertandingan-pertandingan antarabangsa.

Namun buat julung-julung kalinya, penampilan skuad emas bola jaring negara mengejutkan ramai dengan imej yang lebih Islamik apabila mengenakan seluar panjang, malah mengenakan tudung pada kejohanan sukan Asia Tenggara itu.

"Kita, Malaysia adalah negara pertama yang secara rasmi diberi kebenaran oleh badan bola jaring dunia, Persekutuan Bola Jaring Antarabangsa (INF), untuk menyarung jersi tersebut. Berseluar panjang dan bertudung.

"Bukan mudah sebenarnya. Kami perlu memohon mengikut garis panduan rasmi melalui dokumen lengkap. Kami bentangkan kepada INF mengikut saluran dan alhamdulillah, permohonan kami diluluskan," kata Presiden Persatuan Bola Jaring Malaysia (PBJM), Dato' Suraya Yaacob, ketika ditemubual Kedahnews.com secara eksklusif, di sini hari ini.

Suraya diminta mengulas mengenai jersi yang dikenakan skuad bola jaring negara berbanding jersi sebelumnya yang mengenakan skirt mini dan tidak mengenakan tudung dalam aksi-aksi kejohanan sebelum ini.

Jersi lama skuad bola jaring negara berskirt mini, tidak mengenakan tudung.
Mengulas lanjut, Exco Kerajaan Negeri Kedah itu menjelaskan bahawa terdapat beberapa pemain utama negara yang mengenakan tudung namun tidak dapat berbuat demikian.

Keadaan itu telah membuat beliau rasa terpanggil untuk berusaha memberikan hak yang sewajarnya kepada pemain-pemain skuad bola jaring negara mengenakan jersi yang lebih sopan dan memenuhi tuntutan agama.

"Ada beberapa pemain kita yang bertudung, tapi terpaksa buka tudung dan pakai skirt bila nak beraksi untuk negara. Pada pandangan saya, perkara ini tidak kena dan perlu diperbetulkan.

"Kerana itulah, saya dan PBJM berusaha untuk mengubah imej dan penampilan skuad bola jaring kita kepada yang lebih sopan dan Islamik berbanding sebelumnya, lebih manis dipandang, bukan?," jelas beliau lagi.

Selain itu, Suraya turut menafikan imej baru skuad bola jaring itu menggangu prestasi pasukan dan membuktikan tanggapan yang dipercayai berasal dari barat itu adalah tidak benar sama sekali.

"Kami sudah buktikan bahawa memakai seluar panjang dan bertudung langsung tidak menjejaskan prestasi pasukan. Kita menang emas dengan jersi baru itu, pasukan yang pakai skirt dan tidak bertudung pun kita tewaskan.

"Jadi, adalah jelas ia tidak menjejaskan prestasi atas padang. Ia mungkin persepsi yang menjadi kebiasaan dan Malaysia telah buktikan ia adalah sekadar tanggapan yang tidak tepat," katanya yang berbangga dengan prestasi skuad emas negara tersebut. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com